WASHINGTON: Gergasi perisian Amerika Syarikat (AS), Oracle mengurangkan kira-kira 21,000 pekerjaan dalam tempoh setahun, bersamaan kira-kira 13 peratus daripada keseluruhan tenaga kerjanya, menurut pemfailan syarikat itu kepada Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa (SEC) AS, lapor Sputnik/RIA Novosti.
“Sehingga 31 Mei 2026, kami menggaji kira-kira 141,000 pekerja sepenuh masa, dengan kira-kira 49,000 orang bekerja di Amerika Syarikat dan kira-kira 92,000 orang di peringkat antarabangsa,” menurut syarikat itu dalam kenyataan pada Isnin.
Setahun sebelumnya, iaitu pada 31 Mei 2025, Oracle melaporkan jumlah tenaga kerja seramai 162,000 orang, termasuk 58,000 pekerja di Amerika Syarikat dan 104,000 di luar negara.
Pengurangan terbesar berlaku dalam bahagian Penyelidikan dan Pembangunan (R&D), yang kehilangan kira-kira 7,000 pekerja, menjadikan jumlah kakitangannya kini kira-kira 43,000 orang.
Bahagian Jualan dan Pemasaran pula mengurangkan kira-kira 6,000 pekerja, dengan baki tenaga kerja seramai 25,000 orang.
Bahagian Awan dan Perisian serta unit Perkhidmatan masing-masing kehilangan kira-kira 3,000 pekerja.
Sehingga akhir Mei, kedua-dua unit itu mempunyai tenaga kerja masing-masing seramai 26,000 dan 34,000 orang.
“Kami mungkin melaksanakan pelan penstrukturan semula baharu pada masa hadapan. Selain itu, penggunaan dan pelaksanaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam operasi kami menyebabkan dan mungkin akan terus menyebabkan, pengurangan tenaga kerja,” menurut syarikat itu.
Ditubuhkan pada 1977 dan beribu pejabat di Austin, Texas. Oracle antara syarikat perisian terbesar di dunia.
-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI