WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) desak Israel untuk melindungi orang awam di Gaza dan membenarkan peningkatan segera bantuan kemanusiaan.

Ini susulan bantahan semakin meningkat mengenai kos kemanusiaan akibat pengeboman tiga minggu Israel ke atas bumi Palestin.

White House berkata, Presiden Joe Biden memberitahu Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dalam gesaan bahawa Israel berhak mempertahankan diri namun perlu selari dengan undang-undang antarabangsa.

White House berkata, Biden juga menegaskan keperluan untuk meningkatkan aliran bantuan kemanusiaan dengan segera dan ketara bagi memenuhi keperluan orang awam di Gaza.

Dengan angka kematian di Semenanjung Gaza mencecah lebih 8,000 dan dijangka meningkat, Biden berada di bawah tekanan yang semakin kuat untuk menjelaskan sokongan kepada sekutunya itu.

Biden menghadapi tekanan dari dalam parti Demokratnya sendiri untuk menyeru gencatan senjata dipersetujui.

Pihak berkuasa perubatan di Semenanjung Gaza berkata, 8,005 rakyat Palestin telah terbunuh sejak 7 Oktober lalu.