DUNIA
Google akan labur GBP5 bilion di UK dalam tempoh dua tahun

Google berkata ia akan menyalurkan GBP5 bilion ke dalam perbelanjaan modal, penyelidikan dan pembangunan serta bidang kejuruteraan berkaitan dalam tempoh dua tahun. - Gambar fail Reuters/Dado Ruvic
LONDON: Google mengumumkan akan melabur GBP5 bilion (US$6.8 bilion) di United Kingdom (UK) dalam tempoh dua tahun bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap perkhidmatan kecerdasan buatan (AI), sekali gus memberi lonjakan besar kepada kerajaan, lapor PA Media/dpa.
Pengumuman itu dibuat ketika Google membuka pusat data baharunya di Waltham Cross, Hertfordshire, yang dijangka menyumbang kepada penciptaan ribuan pekerjaan, menurut gergasi teknologi AS itu.
Canselor Rachel Reeves berkata pelaburan besar dalam penyelidikan dan pembangunan, perbelanjaan modal dan kejuruteraan itu merupakan satu "undi keyakinan" terhadap ekonomi UK.
Ia turut menyusuli laporan bahawa firma induk ChatGPT, OpenAI, dan Nvidia juga akan mengumumkan pelaburan bernilai berbilion dolar ke dalam pusat data UK minggu ini, bersempena lawatan negara Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.Pada Selasa, Google berkata ia akan menyalurkan GBP5 bilion ke dalam perbelanjaan modal, penyelidikan dan pembangunan serta bidang kejuruteraan berkaitan dalam tempoh dua tahun, termasuk penyelidikan AI terulung dalam bidang sains dan kesihatan melalui operasi Google DeepMind.
Firma berpangkalan di Silicon Valley itu berkata pelaburan tersebut akan membantu UK membangunkan ekonomi AI dan menyumbang kepada pencapaian teknologi, peningkatan keselamatan siber serta penciptaan pekerjaan.
Google menjangkakan pelaburan itu akan membantu mewujudkan 8,250 pekerjaan setiap tahun di perniagaan UK.
Reeves akan merasmikan pusat data pertama syarikat itu di UK di Waltham Cross pada Selasa, ketika permintaan terhadap perkhidmatan Google Cloud, Workspace, Search dan Maps semakin meningkat.
Canselor itu berkata: "Pelaburan Google sebanyak GBP5 bilion ini merupakan undi keyakinan yang kuat terhadap ekonomi UK dan kekuatan perkongsian kami dengan AS, mewujudkan pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi untuk tahun-tahun akan datang."
"Kerajaan ini sedang membalikkan dekad pelaburan yang kurang memadai yang mengekang kita terlalu lama, dengan mengurangkan kerenah birokrasi, melaksanakan pembaharuan berani terhadap sistem perancangan dan melabur dalam teknologi lebih baik untuk membuka peluang pekerjaan yang lebih baik."
Pengasas bersama dan Ketua Eksekutif Google DeepMind, Demis Hassabis berkata: "Kami menubuhkan DeepMind di London kerana kami tahu UK mempunyai potensi dan bakat untuk menjadi hab global bagi penyelidikan AI terulung."
"UK mempunyai sejarah yang kaya dalam menjadi peneraju teknologi - daripada Lovelace kepada Babbage kepada Turing - jadi adalah wajar kami meneruskan warisan itu dengan melabur dalam gelombang inovasi dan penemuan saintifik seterusnya di UK."
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami