Skip to main content

Dunia

Gunung Balatukan Filipina bakal jadi Taman Warisan ASEAN ke-70

Mount Balatukan Range Natural Park
Taman Semula Jadi Banjaran Gunung Balatukan di Filipina, yang terletak di bahagian timur Misamis Oriental, diiktiraf sebagai Kawasan Utama Biodiversiti dan Kawasan Penting Burung. - Philippines Information Agency
Advertisement

MANILA: Taman Semula Jadi Banjaran Gunung Balatukan di Mindanao, Filipina, hampir menjadi Taman Warisan ASEAN (AHP) ke-70, lapor Agensi Berita Filipina (PNA).

Menurut Pusat Biodiversiti ASEAN (ACB) pada Khamis, taman semula jadi itu, bersama Tapak Ramsar Prek Toal di Kemboja, disokong untuk penetapan berkenaan dan kini tertakluk kepada “kelulusan ad referendum” oleh Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN mengenai Alam Sekitar.

“Ini membuktikan komitmen rantau ini untuk memelihara dan memulihkan khazanah alam semula jadi yang besar dengan memperkukuh hubungan ekologi, meningkatkan pengurusan, berkongsi amalan terbaik, membina keupayaan serta membangunkan aktiviti kesedaran yang inovatif,” kata Pengarah Eksekutif ACB Jerome Montemayor.

Taman Semula Jadi Banjaran Gunung Balatukan di Filipina, yang terletak di bahagian timur Misamis Oriental, diiktiraf sebagai Kawasan Utama Biodiversiti dan Kawasan Penting Burung.

Kawasan itu terkenal dengan kadar endemisme yang tinggi merangkumi pelbagai kumpulan taksonomi serta menjadi habitat flora dan fauna yang sangat terancam, termasuk helang Filipina (Pithecophaga jefferyi) dan bunga Rafflesia (Rafflesia verrucosa).

Taman semula jadi itu turut mempunyai kepentingan budaya dan menjadi kawasan suci bagi suku Higaonon.

Sementara itu, Tapak Ramsar Prek Toal di Kemboja terkenal sebagai kawasan pembiakan burung air terbesar di rantau ini dan kawasan teras terbesar Rizab Biosfera Tonle Sap UNESCO.

Ekosistemnya disokong oleh kitaran banjir bermusim Sungai Mekong yang unik, yang mempengaruhi perubahan hidrologi mengikut musim. 

Sebagai sebahagian daripada proses semakan pencalonan AHP, ACB bekerjasama dengan penilai teknikal, Jabatan Alam Sekitar dan Sumber Asli Filipina serta Kementerian Alam Sekitar Kemboja untuk menjalankan misi penilaian lapangan di kedua-dua tapak itu awal tahun ini.

ACB berkata pihaknya turut menerima tiga lagi pencalonan AHP daripada Laos dan Thailand dan kini sedang menilai dokumen serta berkoordinasi dengan agensi kerajaan berkaitan.

Asia Tenggara kini mempunyai 69 Taman Warisan ASEAN yang diisytiharkan, terdiri daripada 47 AHP daratan, 12 AHP marin dan 10 AHP tanah lembap, meliputi kira-kira 11.9 juta hektar kawasan perlindungan.

-- BERNAMA-PNA

 

Must Watch Video

Advertisement