AHLI biro politik pasukan pejuang Hamas, Bassem Naim mengalu-alukan sesi pertama kes Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang menuduh Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin di Gaza, yang diadakan atas permintaan Afrika Selatan.

"Kami menantikan mahkamah mengeluarkan keputusan yang adil kepada mangsa, dengan menggesa hentikan pencerobohan dan meminta penjenayah perang bertanggungjawab," kata Bassem dalam kenyataan bertulis yang diterbitkan di laman web Hamas pada Khamis.

Menjawab pelbagai tuduhan hipokrit yang telah dikenakan terhadap Afrika Selatan, termasuk mengapa tidak turut membawa tuduhan pembunuhan beramai-ramai terhadap Hamas, Vaughan Lowe, salah seorang peguam Afrika Selatan berkata, itu merupakan bidang kuasa Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) - bukan ICJ.

“Hamas bukan sebuah negeri dan tidak boleh menjadi pihak dalam konvensyen pembunuhan beramai-ramai dan tidak boleh menjadi pihak dalam prosiding ini,” kata Lowe.

ICJ mendengar kes yang dibawa oleh negara yang menuduh orang lain melanggar kewajipan perjanjian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), manakala ICC membicarakan individu untuk jenayah termasuk jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan. - Agensi