KUALA LUMPUR: Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengarahkan Israel untuk mengambil semua langkah dalam kuasanya untuk mencegah pembunuhan beramai-ramai di Gaza.

Presiden ICJ, Hakim Joan Donoghue berkata ICJ menuntut Israel, antara lain, agar cuba membendung kematian dan kerosakan di Semenanjung Gaza, namun tidak mengarahkan gencatan senjata.

ICJ juga mengarahkan Israel agar melaporkan perkembangan kepada mahkamah dalam masa satu bulan, malah turut menegaskan keputusan itu mewujudkan kewajipan undang-undang antarabangsa terhadap Israel.

"Israel hendaklah, mengikut kewajipan di bawah konvensyen mengenai pencegahan dan hukuman jenayah pembunuhan beramai-ramai, berhubung dengan rakyat Palestin di Gaza, mengambil semua langkah dalam kuasanya untuk menghalang pelakuan semua tindakan dalam skop Perkara 2 Konvensyen.

"Ini khususnya, A, membunuh, B, menyebabkan kecederaan badan atau mental yang serius, C, menyebabkan kecederaan fizikal atau mental yang serius, C, dengan sengaja menyebabkan keadaan hidup yang dikira untuk membawa kemusnahan fizikalnya secara keseluruhan atau sebahagian dan D, mengenakan langkah-langkah yang bertujuan untuk mencegah kelahiran," katanya.

Israel juga diarahkan mengambil semua langkah untuk menghalang tenteranya daripada melakukan pembunuhan beramai-ramai, menghukum dan membawa masuk keperluan bantuan kemanusiaan.

Terdahulu, Donoghue memulakan penyampaian keputusan dengan merujuk serangan yang berlaku pada 7 Oktober.

Jelasnya, beliau menyedari krisis kemanusiaan yang berlaku di Gaza dan amat prihatin terhadap kehilangan nyawa dan penderitaan berterusan orang awam.

"Memandangkan nilai asas yang ingin dilindungi oleh Konvensyen Genosid, mahkamah menganggap bahawa hak dan persoalan yang munasabah dalam prosiding ini terutamanya hak rakyat Palestin di Semenanjung Gaza untuk dilindungi daripada tindakan pembunuhan beramai-ramai dan perbuatan lain yang berkaitan, yang dikenal pasti dalam Perkara 3 Konvensyen Genosid.

"Ini termasuk hak Afrika Selatan untuk meminta Israel mematuhi kewajipan di bawah konvensyen adalah bersifat sedemikian rupa sehingga prejudis kepada mereka dan mampu menyebabkan kemudaratan yang tidak boleh diperbetulkan," katanya lagi. 

Pada 12 Januari lalu, ICJ membuka perbicaraan kes yang dibawa Afrika Selatan iaitu menuntut penggantungan operasi ketenteraan di Gaza di mana ia mendakwa Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin.