Skip to main content

Dunia

IMF benarkan Mesir keluarkan dana AS$2.3 bilion selepas semakan program

41673624951_IMF.jpg
IMF menyatakan kemajuan ini didorong oleh beberapa langkah pembaharuan struktur yang dilaksanakan kerajaan Mesir. - Foto fail

KAHERAH: Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengesahkan bahawa beberapa semakan program pinjaman Mesir kini berada pada tahap akhir, sekali gus membuka laluan kepada pihak berkuasa negara itu untuk mengeluarkan dana bersamaan kira-kira AS$2.3 bilion.

Dalam taklimat di Washington, Pengarah Komunikasi IMF, Julie Kozack, berkata perbincangan mengenai semakan kelima dan keenam bagi Kemudahan Kredit Lanjutan (ECF) bernilai AS$8 bilion sedang dimuktamadkan, manakala semakan pertama bagi Kemudahan Ketahanan dan Kemampanan (RSF) bernilai AS$1.3 bilion turut hampir selesai.

Advertisement

Jika diluluskan dalam mesyuarat lembaga, Mesir dijangka menerima AS$2 bilion di bawah ECF dan sekitar AS$300 juta di bawah RSF.

IMF menyatakan kemajuan ini didorong oleh beberapa langkah pembaharuan struktur yang dilaksanakan kerajaan Mesir, termasuk rombakan kabinet serta keputusan untuk membubarkan Kementerian Perusahaan Awam, sebagai sebahagian usaha merasionalisasi pengurusan aset negara dan meningkatkan kecekapan ekonomi.

Untuk mengurangkan tekanan inflasi terhadap rakyat berpendapatan rendah, kerajaan Mesir turut mengumumkan pakej perlindungan sosial melebihi 40 bilion paun Mesir, meliputi bantuan tunai sempena Ramadan dan Aidilfitri.

IMF menyatakan bahawa langkah bantuan bersasar ini penting bagi mengekalkan kestabilan sosial ketika negara menjalani pembaharuan ekonomi yang ketat.

Walaupun kelulusan rasmi masih menunggu keputusan lembaga IMF, pemantauan terhadap pembaharuan fiskal dan institusi menunjukkan bahawa Mesir berada di landasan yang selari dengan syarat utama program, sekali gus meningkatkan keyakinan pelabur dan prospek pemulihan ekonomi negara itu.

 

 

Must Watch Video