MOSCOW: India dilaporkan bakal mewujudkan Pos Perisikan Sempadan (BIP) untuk memantau aktiviti China, termasuk pembentukan tentera dan cubaan pencerobohan ke wilayah India, di sepanjang Garis Kawalan Sebenar (LAC), lapor Sputnik memetik Hindustan Times.

Pegawai perisikan yang ditempatkan di sempadan akan beroperasi dengan kerjasama tentera Tentera India dan Polis Sempadan Indo-Tibet (ITBP) dan membuat laporan jika terdapat aktiviti mencurigakan, lapor akhbar itu memetik sumber yang enggan namanya disiarkan.

India dan China mempunyai ribuan batu persegi wilayah sempadan yang menjadi pertikaian, dari wilayah Ladakh, dengan tuntutan Kashmir Pakistan sehingga ke Arunachal Pradesh di timur Bhutan.

Kedua-dua negara tidak mempunyai sempadan yang ditandai hanya garisan yang dipanggil sebagai LAC yang dibuat selepas perang 1962.

Beberapa siri konflik tercetus di Ladakh pada Mei 2020, antara tentera China dan India, menyaksikan New Delhi dan Beijing meningkatkan kehadiran tentera mereka di rantau itu.

Selepas pengunduran sebahagian besar tentera pada Februari 2021, kedua-dua pihak mengadakan beberapa pusingan rundingan di peringkat diplomat dan komander kor yang ditempatkan di wilayah itu.

Pengunduran tentera terbaru di Ladakh berlaku pada September 2022.

-- BERNAMA