INTERNATIONAL
India cadang tarif sifar ke atas keluli, farmaseutikal dari AS - Laporan

Tarif sifar tersebut akan dikenakan mengikut ambang import tertentu, dan barangan yang melebihi paras itu akan tertakluk kepada kadar tarif biasa. - Gambar hiasan/Reuters
MOSCOW: India mencadangkan pengenaan tarif sifar ke atas keluli, alat ganti kenderaan dan ubat-ubatan dari Amerika Syarikat (AS) dalam rundingan perdagangan dengan Washington, lapor Sputnik/RIA Novosti yang memetik laporan Bloomberg, berdasarkan sumber.
Menurut laporan itu pada Isnin, tarif sifar tersebut akan dikenakan mengikut ambang import tertentu, dan barangan yang melebihi paras itu akan tertakluk kepada kadar tarif biasa.
Cadangan berkenaan dikemukakan oleh pegawai India yang melawat Washington pada akhir April dalam usaha mempercepatkan rundingan perjanjian perdagangan dua hala yang dijangka dimuktamadkan menjelang musim luruh ini, menurut laporan itu lagi.
New Delhi juga dilaporkan bersedia menyemak semula piawaian kualiti mandatori yang menetapkan syarat ke atas pengilang tempatan dan asing sebelum menjual produk di India. Washington menganggap piawaian itu sebagai halangan bukan tarif terhadap eksportnya.AS merupakan rakan dagang terbesar India. Rundingan mengenai perjanjian perdagangan dua hala antara kedua-dua negara bermula sebelum Presiden AS ketika itu, Donald Trump, mengenakan tarif balas ke atas rakan dagang AS pada April. Ketika ini, tarif import ke atas produk dari India mencecah 26 peratus.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami