NEW DELHI: Jumlah jangkitan COVID-19 di India mencecah 25,496,330 pada Rabu selepas 267,334 kes baharu dilaporkan dalam tempoh 24 jam.

Menurut pihak berkuasa, angka kematian pula meningkat kepada 283,248 apabila 4,529 lagi kematian dicatatkan, yang tertinggi dalam tempoh 24 jam setakat ini.

Sehingga kini, 3,226,719 kes aktif dilaporkan di seluruh negara, peningkatan 127,046 kes dalam tempoh 24 jam.

Lebih 185 juta dos vaksin telah diberikan kepada penduduk di seluruh negara sejak India memulakan usaha vaksinasi di seluruh negara pada 16 Januari.

Buat masa ini, fasa ketiga vaksinasi COVID-19 sedang berlangsung, meliputi semua orang berusia 18 tahun ke atas, namun India menghadapi kekurangan vaksin yang semakin meningkat.

Sementara itu, kerajaan meningkatkan kemudahan ujian saringan COVID-19, dengan lebih 320 juta ujian telah dijalankan setakat ini.