Skip to main content

Dunia

Indonesia teruskan usaha padam kebakaran di 4 wilayah, lebih 72 hektar masih terjejas

Sumatera Selatan mencatatkan kawasan terbesar yang masih memerlukan perhatian iaitu seluas 28.5 hektar, diikuti Kalimantan Tengah (27.6 hektar), Jambi (14 hektar) dan Kalimantan Barat (2.34 hektar). - Gambar fail/AP
Sumatera Selatan mencatatkan kawasan terbesar yang masih memerlukan perhatian iaitu seluas 28.5 hektar, diikuti Kalimantan Tengah (27.6 hektar), Jambi (14 hektar) dan Kalimantan Barat (2.34 hektar). - Gambar fail/AP

Advertisement

JAKARTA: Indonesia terus berusaha memadamkan kebakaran hutan dan tanah di empat wilayah, dengan lebih 72 hektar kawasan masih memerlukan operasi pemadaman.

Pasukan bomba gabungan dengan sokongan unit udara telah berjaya memadamkan hampir 3,800 hektar kebakaran hutan dan tanah di enam wilayah diutamakan sepanjang minggu lepas.

Pemangku Ketua Pusat Data, Informasi dan Komunikasi Bencana Badan Nasional Pengurangan Bencana (BNPB) Berton Panjaitan berkata baki kawasan terjejas terletak di Sumatera Selatan, Kalimantan Tengah, Jambi dan Kalimantan Barat setakat Rabu.

“Operasi bersepadu di darat dan udara, termasuk teknologi pembenihan awan, terus dioptimumkan dengan keutamaan diberikan kepada titik api aktif, tanah gambut, kebakaran bawah permukaan, kawasan berpotensi tinggi untuk merebak, serta lapangan terbang dan petempatan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata Sumatera Selatan mencatatkan kawasan terbesar yang masih memerlukan perhatian iaitu seluas 28.5 hektar, diikuti Kalimantan Tengah (27.6 hektar), Jambi (14 hektar) dan Kalimantan Barat (2.34 hektar).

Berton berkata operasi itu melibatkan 59,035 personel darat di enam wilayah keutamaan, disokong oleh pam air, tangki air mudah alih dan peralatan untuk menyuntik air ke dalam gambut.

Sokongan udara pula melibatkan 56 pesawat, termasuk 43 helikopter pengebom air serta 13 pesawat untuk operasi rondaan dan pembenihan awan.

Beliau berkata Sumatera Selatan menyumbang kawasan pemadaman terbesar dari 24 hingga 30 Sept iaitu seluas 1,554.46 hektar, diikuti Kalimantan Tengah (846 hektar), Jambi (477.50 hektar), Kalimantan Barat (413.30 hektar), Kalimantan Selatan (349.44 hektar) dan Riau (96.03 hektar).

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement