TEHRAN: Iran memberi bayangan bahawa ia bersedia mengambil pendekatan lebih agresif dalam konflik dengan Amerika Syarikat (AS) apabila memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua negara yang dimeterai pada Jun lalu tamat tempoh.
Ketua biro politik Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC), Brigedier Jeneral Yadollah Javani, berkata Iran selama ini bertindak secara defensif, namun strategi itu boleh berubah mengikut perkembangan semasa.
“Musuh yang memulakan perang dan usaha kami sebelum ini bersifat mempertahankan diri, tetapi ia boleh mengambil dimensi yang lebih ofensif,” katanya kepada televisyen negara.
Walaupun gencatan senjata dicapai pada Jun, ketegangan antara Tehran dan Washington terus memuncak berhubung Selat Hormuz.
Javani turut memberi amaran bahawa pihak lawan perlu bersedia menghadapi “kejutan strategik”.
Jurucakap IRGC, Hossein Mohebbi, sebelum ini menyatakan bahawa sekiranya AS menyasarkan infrastruktur awam Iran, Tehran berkemungkinan membalas dengan menyerang rangkaian tenaga, loji kuasa dan sistem digital milik AS serta sekutunya di rantau itu.
Nada lebih tegas Iran hadir selepas Pemimpin Tertinggi, Mojtaba Khamenei, melantik beberapa tokoh veteran IRGC ke jawatan penting ketenteraan dan keselamatan.
Beliau menekankan keperluan menggabungkan kuasa pencegahan maksimum dengan kesiapsiagaan untuk melaksanakan operasi ofensif yang berkesan.
Dalam perkembangan berkaitan, Presiden AS Donald Trump mengulangi dakwaan bahawa Iran telah ditewaskan dalam konflik berkenaan dan mendakwa Selat Hormuz akan “menjadi wilayah AS tidak lama lagi”, walaupun White House kemudian menjelaskan kenyataan itu dibuat secara berseloroh.
Ketua Tentera Iran, Amir Hatami, bagaimanapun memberi amaran bahawa tenteranya bersedia menghadapi sebarang operasi darat AS di wilayah Iran.
Beliau menegaskan pasukan Iran mempunyai keupayaan untuk menyerang pihak yang dianggap sebagai penceroboh.
Sementara itu, pegawai keselamatan kanan Iran, Mohsen Rezaee, mendakwa Washington sebelum ini mungkin mempertimbangkan operasi darat untuk menguasai Selat Hormuz dan kemudahan nuklear tertentu, namun rancangan itu tidak diteruskan.
Menurutnya, Iran telah memperkukuh pertahanan di kawasan pesisir pantai, pulau strategik serta laluan penting di sekitar selat berkenaan.
Tentera Iran turut menegaskan bahawa mereka tidak akan membenarkan mana-mana tentera asing mendarat di wilayah negara itu, termasuk di pulau-pulau strategik yang terletak di sekitar Selat Hormuz.
Pada masa sama, Kementerian Luar Iran menegaskan tamatnya tempoh MoU tidak akan mengubah pendirian Tehran.
Jurucakap kementerian itu berkata dasar Iran ditentukan berdasarkan kepentingan dan keselamatan negara, bukan tekanan atau tarikh akhir yang ditetapkan oleh pihak luar.
Speaker Parlimen Iran, Mohammad Bagher Ghalibaf pula menyifatkan MoU tersebut sebagai satu kejayaan diplomatik dan mendakwa Iran muncul sebagai pihak yang menang dari segi politik serta ketenteraan dalam konflik dengan AS dan Israel.