KUANTAN: Aktiviti judi dalam talian menyebabkan sebahagian golongan muda dibelenggu hutang sehingga ada yang diisytihar bankrap, kata Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Pahang Datuk Fadzli Mohamad Kamal.
Beliau berkata kegiatan berkenaan turut menjejaskan keharmonian rumah tangga, selain menyebabkan individu yang terlibat mengalami tekanan mental.
“Penglibatan anak muda dalam aktiviti judi dalam talian ini amat membimbangkan… sebab bermula daripada judi dalam talian ini, masalahnya terus berkait hinggakan ada yang meminjam dengan ‘along’.
“Terdapat kes kad bank, gaji pun orang lain keluarkan dan mereka (peminjam along) hanya terima beberapa ratus sahaja,” katanya ketika penggulungan perbahasan Belanjawan Pahang 2027 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.
Fadzli berkata polis kontinjen Pahang telah menjalankan 83 serbuan di seluruh negeri bagi tempoh Januari hingga September lepas, sekali gus menahan 91 individu dan merampas barangan serta wang tunai yang disyaki berkaitan kegiatan itu.
Beliau berkata sebanyak 100 permohonan sekatan laman web telah dikemukakan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung kes terbabit, di samping tindakan pemotongan bekalan elektrik dan pembatalan lesen turut dilaksanakan terhadap 24 premis yang dikenal pasti terlibat dengan kegiatan perjudian dalam talian.
“Kerajaan Negeri Pahang akan terus memperkukuh kerjasama dengan polis, MCMC dan pihak berkuasa tempatan melalui aktiviti penguatkuasaan, pemantauan serta tindakan pelesenan bagi membanteras kegiatan judi haram secara lebih menyeluruh dan berkesan,” katanya.
Mengenai isu capaian Internet, Fadzli berkata menerusi inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA), sebanyak 11 menara telekomunikasi baru telah dibina di Mukim Ulu Tembeling, Jerantut dan beroperasi sepenuhnya sejak Mei 2025.
Selain itu, penambahbaikan kabel gentian optik sepanjang kira-kira 50 kilometer dari Kuala Tahan ke Kampung Gusai dekat Jerantut turut dilaksanakan bagi mengurangkan gangguan rangkaian telekomunikasi.
Beliau berkata MCMC juga telah memasang dua unit peralatan Starlink di Kampung Bantal dan Kampung Gusai sejak Januari lepas sebagai penyelesaian sementara ketika berlaku gangguan rangkaian.
-- BERNAMA