Skip to main content

Malaysia

Kastam bongkar cubaan seludup tembakau, rampasan hampir RM4 juta

Wan Norizan (empat, kanan) mengadakan sidang akhbar berhubung kejayaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia menyita sejumlah basikal elektrik (E-Bike) dan rampasan produk tembakau dengan nilai keseluruhan RM4.2 juta di Kompleks Kastam WPKL, hari ini.  -fotoBERNAMA
Wan Norizan (empat, kanan) mengadakan sidang akhbar berhubung kejayaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia menyita sejumlah basikal elektrik (E-Bike) dan rampasan produk tembakau dengan nilai keseluruhan RM4.2 juta di Kompleks Kastam WPKL, hari ini. -fotoBERNAMA

Ringkasan AI

  • JKDM Kuala Lumpur merampas 5,925 kilogram produk tembakau tidak berkastam di Pelabuhan Klang pada 23 Oktober.
  • Produk tembakau diisytihar sebagai barangan makanan dalam dokumen import untuk elak duti, cukai dan keperluan permit import.
  • Nilai rampasan dianggarkan RM3,955,525 dan seorang wakil syarikat pengimport dipanggil membantu siasatan mengikut Akta Kastam 1967.
Advertisement

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kuala Lumpur membongkar taktik mengisytiharkan produk tembakau sebagai barangan makanan dalam dokumen pengimportan bagi mengelakkan pembayaran duti dan cukai menerusi rampasan 5,925 kilogram produk tembakau di Pelabuhan Klang pada 23 Okt.

Pengarah Kastam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Wan Norizan Wan Daud berkata rampasan itu melibatkan tembakau kunyah dan cerut yang disyaki tidak berkastam, dipercayai diimport menggunakan kontena dari sebuah negara di Asia Tenggara.

Beliau berkata kontena itu ditahan oleh pasukan operasi Bahagian Penguatkuasaan hasil maklumat awam.

Advertisement

“Produk berkenaan dianggarkan bernilai RM358,200 manakala duti dan cukai terlibat berjumlah RM3,597,325 menjadikan nilai keseluruhan rampasan RM3,955,525.

“Modus operandi yang digunakan adalah dengan membuat pengikraran palsu dalam Borang Kastam No. 1, iaitu mengisytiharkan produk tembakau sebagai barangan makanan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Advertisement

Wan Norizan berkata tindakan itu dipercayai bertujuan mengelakkan pembayaran duti import dan cukai serta keperluan mendapatkan permit import (AP).

Beliau berkata produk berkenaan dipercayai untuk pasaran tempatan, khususnya pekerja asing.

“Pengimportan produk ini tertakluk kepada keperluan permit import di bawah Butiran 66, Bahagian I, Jadual Ketiga, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023,” katanya.

Beliau berkata seorang wakil syarikat pengimport telah dipanggil bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement