Skip to main content

Politik

PRN Sarawak: Anyi tinggalkan PRS, pertahan Ngemah atas tiket Bebas

Bercakap di hadapan kira-kira 200 penyokong di kediamannya di Lorong Dabai, Kampung Muhibbah, di sini, pada Rabu, Anyi turut mengumumkan keputusan meninggalkan Parti Rakyat Sarawak (PRS), sekali gus melepaskan jawatan sebagai Pengerusi PRS Bahagian Ngemah. -Foto Astro AWANI
Bercakap di hadapan kira-kira 200 penyokong di kediamannya di Lorong Dabai, Kampung Muhibbah, di sini, pada Rabu, Anyi turut mengumumkan keputusan meninggalkan Parti Rakyat Sarawak (PRS), sekali gus melepaskan jawatan sebagai Pengerusi PRS Bahagian Ngemah. -Foto Astro AWANI

Ringkasan AI

  • Anyi Jana mengumumkan akan mempertahankan kerusi DUN Ngemah sebagai calon Bebas pada PRN Sarawak ke-13 selepas keluar dari PRS.
  • Beliau melepaskan jawatan Pengerusi PRS Bahagian Ngemah kerana tidak dicalonkan semula dan hilang keyakinan terhadap kepimpinan tertinggi parti.
  • Pertandingan tiga penjuru dijangka berlaku di DUN Ngemah melibatkan Anyi, calon GPS-PRS Alexander Donald dan calon PBDS Tedwin Beti.
Advertisement

KANOWIT: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ngemah, Anyi Jana, mengumumkan akan mempertahankan kerusinya sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.

Bercakap di hadapan kira-kira 200 penyokong di kediamannya di Lorong Dabai, Kampung Muhibbah, di sini, hari ini, Anyi turut mengumumkan keputusan meninggalkan Parti Rakyat Sarawak (PRS), sekali gus melepaskan jawatan sebagai Pengerusi PRS Bahagian Ngemah.

Keputusan itu dibuat selepas kepimpinan parti memutuskan untuk tidak mencalonkan semula beliau bagi mempertahankan kerusi yang dimenanginya pada pilihan raya lalu.

Advertisement

Menurut Anyi, keputusan tersebut dibuat selepas mengambil kira pandangan penyokong selain beliau hilang keyakinan terhadap kepimpinan tertinggi PRS.

Beliau berkata, antara perkara yang mengecewakannya ialah apabila tidak dimaklumkan secara rasmi mengenai penggugurannya sebagai calon DUN Ngemah dan tidak diberikan ruang untuk berbincang dengan kepimpinan parti.

Advertisement

Menurutnya, pengguguran itu dipercayai mempunyai kaitan dengan keputusannya bertanding merebut jawatan dalam Majlis Tertinggi pada Persidangan Perwakilan Tiga Tahun Sekali (TDC) PRS 2025.

Anyi mendakwa tindakannya menawarkan diri dalam pemilihan itu ditafsirkan sebagai cabaran terhadap kepimpinan presiden parti.

Biarpun mengambil keputusan meninggalkan PRS, Anyi menegaskan bahawa pendiriannya terhadap kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, tidak berubah.

Katanya, beliau terus menyokong Abang Johari sebagai Premier Sarawak dan Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), serta menegaskan pencalonannya sebagai calon Bebas tidak bermaksud menolak perjuangan gabungan berkenaan.

Anyi turut mendakwa lebih 1,000 ahli PRS daripada beberapa cawangan di kawasan Ngemah dijangka mengambil keputusan meninggalkan parti itu bersamanya.

Perkembangan itu dijangka menyaksikan pertandingan tiga penjuru di DUN Ngemah melibatkan Anyi, calon GPS-PRS Alexander Donald dan calon PBDS Tedwin Beti.

Pada PRN Sarawak ke-12, Anyi memperoleh 3,193 undi untuk menewaskan Dr Joseph Jawa Kendawang (PSB), Leo Bunsu (PBDSB), Satu Anchom (PKR) dan Charlie Genam (PBK).

Untuk rekod, berdasarkan daftar pemilih yang dikemas kini pada 25 Oktober 2026, DUN Ngemah memiliki 15,021 pemilih.

Must Watch Video

Advertisement