Skip to main content

Politik

PRN Sarawak: Dua bekas penyandang dijangka cabar calon baharu GPS di Pelagus

Kerusi DUN N61 Pelagus bakal menyaksikan pertembungan antara calon GPS Cerislogo Sabut, penyandang Wilson Nyabong Ijang (Bebas), dan Datuk Larry Sng Wei Shien.
Kerusi DUN N61 Pelagus bakal menyaksikan pertembungan antara calon GPS Cerislogo Sabut, penyandang Wilson Nyabong Ijang (Bebas), dan Datuk Larry Sng Wei Shien.

Ringkasan AI

  • Kerusi DUN N61 Pelagus bakal menyaksikan pertembungan antara calon GPS Cerislogo Sabut, penyandang Wilson Nyabong Ijang (Bebas), dan Datuk Larry Sng Wei Shien.
  • Larry Sng, Presiden PBM dan mantan ADUN Pelagus dua penggal, mengesahkan penyertaan dalam PRN Sarawak ke-13 melalui kenyataan di Facebook.
  • DUN Pelagus mempunyai 12,301 pemilih berdaftar berdasarkan daftar pemilih yang dikemaskini sehingga 25 Oktober lalu.
Advertisement

KUCHING: Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N61 Pelagus bakal menyaksikan pertembungan menarik apabila calon muka baharu Gabungan Parti Sarawak (GPS), Cerislogo Sabut, 58, dijangka bertembung dengan bekas dua penyandang kerusi berkenaan.

Menurut sumber, penyandang kerusi berkenaan, Wilson Nyabong Ijang, 67, akan bertanding sebagai calon Bebas manakala seorang lagi pencabar ialah Ahli Parlimen Julau yang juga mantan ADUN Pelagus selama dua penggal, Datuk Larry Sng Wei Shien.

Setakat petang Rabu, Larry mengesahkan penyertaannya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 menerusi kenyataan ringkas di akaun Facebook.

Advertisement

Pada PRN Sarawak ke-12, Nyabong memperoleh 2,843 undi dengan majoriti 1,049 undi untuk menewaskan empat pencabar iaitu Kristoffer Nyuak Bajuk (PSB), Solomon Kumbong (DAP), Nyambong Sibat (PBK) dan Moses Ripai (PBDSB).

Pada pilihan raya sebelumnya, Nyabong menang bergaya dengan memperoleh majoriti 3,284 undi untuk menewaskan calon DAP, Frankie Bendindang Manjah dan calon Bebas, Yong Sibat.

Advertisement

Sementara itu, Larry, 47, yang juga Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM), kali terakhir bertanding di kerusi DUN tersebut pada tahun 2006 apabila memperoleh majoriti 3,239 undi untuk menewaskan calon Bebas, Jeffery Nuing Ebom dan calon SNAP, Simon Sibat.

Pada pilihan raya 2001, beliau memperoleh 7,418 undi dalam pertandingan lima penjuru, semuanya calon Bebas, dengan majoriti 6,263 undi.

Kerusi Pelagus sebelum itu diwakili bapanya, Sng Chee Hua, yang memenangi kerusi berkenaan tanpa bertanding pada pilihan raya negeri 1996.

Dengan pengalaman serta pengaruh yang dimiliki calon-calon terbabit, DUN Pelagus dijangka menjadi antara kerusi tumpuan dalam PRN kali ini.

Untuk rekod, berdasarkan daftar pemilih yang dikemaskinikan sehingga 25 Oktober lalu, DUN Pelagus mempunyai 12,301 pemilih berdaftar.

Must Watch Video

Advertisement