Skip to main content

Malaysia

Lebih 40,000 kandungan buli diturunkan platform media sosial setakat 15 Nov 2026 - Fahmi

Fahmi (foto) berkata statistik penurunan kandungan berunsur buli itu merangkumi semua kategori umur dan merujuk kepada jumlah kandungan yang diturunkan, bukan jumlah kes jenayah atau mangsa terlibat. -Gambar fail/Bernama
Fahmi (foto) berkata statistik penurunan kandungan berunsur buli itu merangkumi semua kategori umur dan merujuk kepada jumlah kandungan yang diturunkan, bukan jumlah kes jenayah atau mangsa terlibat. -Gambar fail/Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Sebanyak 40,214 kandungan berunsur buli dan 55 kandungan jelik melampau melibatkan kanak-kanak telah diturunkan platform media sosial susulan permohonan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi tempoh 1 Jan hingga 15 Nov lepas.

Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata statistik penurunan kandungan berunsur buli itu merangkumi semua kategori umur dan merujuk kepada jumlah kandungan yang diturunkan, bukan jumlah kes jenayah atau mangsa terlibat.

Beliau berkata usaha menangani isu berkenaan dilaksanakan secara bersepadu oleh kementerian dan agensi berkaitan mengikut bidang kuasa serta peruntukan undang-undang masing-masing.

Advertisement

“Dalam membanteras eksploitasi seksual kanak-kanak dalam talian, MCMC turut bekerjasama dengan pihak PDRM (Polis Diraja Malaysia) melalui pemberian bantuan teknikal, pembekalan maklumat dan analisis forensik digital serta pelaksanaan operasi bersepadu," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini. 

Fahmi menjawab soalan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) mengenai jumlah kes 2026 melibatkan buli siber, eksploitasi seksual dan kandungan berbahaya terhadap kanak-kanak serta keberkesanan kerangka pelesenan platform media sosial yang berkuat kuasa sejak 1 Jan 2025.

Advertisement

Fahmi berkata antara operasi dilaksanakan bagi membanteras jenayah seksual terhadap kanak-kanak ialah Operasi CyberGarden 2026 yang membawa kepada 69 tangkapan dan rampasan 498,690 fail digital, termasuk 204,934 fail bahan penderaan seksual kanak-kanak (CSAM).

Beliau berkata Ops Pedo Bersepadu 3.0 yang dilaksanakan pada 14 hingga 16 Sept tahun ini hasil risikan bersama PDRM dan MCMC melibatkan 52 serbuan dan 53 tangkapan termasuk lapan remaja.

Bagi tempoh 1 Jan hingga 15 Nov tahun ini, beliau berkata MCMC mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap kes penyalahgunaan media sosial di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] melibatkan kandungan lucah, sumbang, palsu, mengancam dan jelik melampau, dengan 25 kes didakwa di mahkamah, 16 kes dikenakan kompaun manakala 41 kes diberikan surat amaran.

“Pindaan kepada undang-undang telah membolehkan pihak berkuasa mengenakan ataupun pihak mahkamah mengenakan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda maksimum RM500,000 dan kesalahan ini merupakan satu kesalahan yang boleh tangkap tanpa waran (seizable offence),” katanya.

Selain itu, Fahmi berkata kerajaan turut melaksanakan Kod Perlindungan Kanak-Kanak di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) [Akta 866] bagi menetapkan tahap pematuhan lebih tinggi dalam kalangan penyedia perkhidmatan berlesen.

“Penilaian berterusan akan dibuat berdasarkan tahap pematuhan tersebut dan tindakan pemberi perkhidmatan berlesen dalam menangani kandungan memudaratkan dalam talian,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Siti Zailah mengenai kerjasama dengan platform antarabangsa bagi mempercepat penurunan kandungan penderaan seksual kanak-kanak, Fahmi berkata kerajaan telah mempererat kerjasama antara PDRM dan MCMC serta menerima maklumat daripada agensi risikan luar negara.

Beliau berkata Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) PDRM turut memainkan peranan penting dalam usaha berkenaan.

Katanya, kerajaan juga memberi penekanan kepada pelaksanaan pengesahan umur bagi mengelakkan kanak-kanak berinteraksi dengan golongan dewasa yang berpotensi melakukan pengantunan seksual.

Menurut Fahmi, pendekatan itu penting bagi menghalang penjenayah seksual daripada menyalahgunakan platform media sosial untuk memangsakan kanak-kanak.

“Pada pertengahan Disember, saya akan bertemu rakan sejawat dari Indonesia dan Singapura untuk menyampaikan mesej jelas kepada platform bahawa kita tidak mahu jenayah seksual terhadap kanak-kanak berlaku menerusi platform media sosial,” katanya.

Mengenai cadangan penyediaan platform khusus untuk kanak-kanak, beliau berkata kerajaan tidak berhasrat membangunkan platform sedemikian ketika ini selain menekankan ibu bapa perlu memainkan peranan lebih aktif dalam memantau penggunaan media sosial anak-anak.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement