Skip to main content

Politik

PRN Sarawak: DAP harap PKR terus beri sokongan kempen, akui berdepan cabaran besar

Alan berharap PKR dapat terus memberikan sokongan, khususnya dalam aspek kempen, bagi membantu DAP menghadapi persaingan pada PRN kali ini. - Gambar Astro AWANI
Alan berharap PKR dapat terus memberikan sokongan, khususnya dalam aspek kempen, bagi membantu DAP menghadapi persaingan pada PRN kali ini. - Gambar Astro AWANI
Advertisement

KUCHING: Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak mengakui berdepan cabaran besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13, namun berharap hubungan baik dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak dapat diteruskan bagi memperkukuh gerak kerja parti itu mendepani saingan pilihan raya kali ini.

Setiausaha DAP Sarawak, Alan Ling Sie Kong berkata, komunikasi antara kedua-dua parti kekal baik, malah beliau masih berhubung dengan pemimpin PKR Sarawak pada pagi Khamis.

Beliau berharap PKR dapat terus memberikan sokongan, khususnya dalam aspek kempen, bagi membantu DAP menghadapi persaingan pada PRN kali ini.

Advertisement

“Hubungan kita memang masih kekal erat sebelum ini dan masih baik. Kita masih berkomunikasi. Pagi ini pun saya masih berkomunikasi dengan mereka.

“Saya harap apa juga yang berlaku, kita berlapang dada dan cuba mengumpulkan sumber supaya mendapat bantuan daripada pihak PKR juga walaupun mereka secara rasmi tidak bertanding,” katanya.

Advertisement

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Ibu Pejabat DAP, di sini, pada Khamis.

Alan turut mengakui terdapat pemimpin tempatan PKR yang kecewa dengan keputusan itu memandangkan mereka sebelum ini telah membuat persiapan menghadapi pilihan raya kali ini.

Bagaimanapun, beliau berharap kerjasama kedua-dua parti dapat diteruskan sebagai satu pasukan PH.

Dalam pada itu, Alan menyifatkan PRN kali ini sebagai perjuangan hidup mati atau survival fight buat DAP, mengambil kira kekuatan Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta rekod pentadbiran kerajaan negeri ketika ini.

“Memang ini seperti mana yang kita katakan, ini survival fight, ini do or die war, you know. Kita barangkali mungkin kosong kalau ikut apa yang dikatakan pencapaian dan sebagainya, kekuatan GPS ataupun lebih teruk daripada yang dua ataupun sama.

“Tapi kita memang kita akan cuba sedaya yang mana untuk bertaruhlah sampai saat akhir. Dan kita rasa pengundi khususnya di kawasan bandar, mereka mempunyai kebijaksanaan dan kesedaran politik yang tinggi.

“Di mana-mana kerajaan juga penting untuk semak dan imbang,” katanya.

Pada PRN Sarawak ke-12, DAP hanya memperoleh kemenangan di dua kerusi melibatkan DUN Padungan dan Pending manakala GPS dengan 76 dan Parti Sarawak Bersatu (PSB) dengan empat kerusi.

Must Watch Video

Advertisement