TEHRAN: Iran menegaskan tindakan ketenteraan terbaharunya merupakan langkah mempertahankan diri susulan serangan udara Amerika Syarikat dan Israel yang mengorbankan Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, serta beberapa pegawai kanan tentera negara itu.
Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi berkata, Tehran tidak menyasarkan negara jiran di Teluk, sebaliknya hanya menyasarkan kepentingan ketenteraan Amerika Syarikat (AS) di rantau berkenaan.
Advertisement
“Apa yang kami lakukan sebenarnya adalah tindakan mempertahankan diri dan serangan balas terhadap pencerobohan AS terhadap kami. Kami tidak menyerang saudara kami di Teluk Parsi dan tidak menyerang jiran kami, tetapi kami menyerang sasaran AS,” katanya.
Beliau menjelaskan Iran tidak mempunyai keupayaan untuk menyerang wilayah AS secara langsung, justeru menyasarkan pangkalan dan kemudahan ketenteraan AS di rantau Asia Barat.
Araghchi turut menegaskan bahawa Iran sentiasa terbuka kepada diplomasi, namun mendakwa serangan udara oleh Washington dan Tel Aviv berlaku ketika rundingan sedang berlangsung.
“Ini kali kedua kami berunding dengan AS, dan mereka memutuskan untuk menyerang kami ketika rundingan sedang berjalan,” katanya dalam wawancara bersama Al Jazeera.
Serangan udara bersama AS dan Israel pada Sabtu dilaporkan menyasarkan kompleks utama di Tehran dan mengorbankan tujuh komander tentera Iran termasuk ketua pejabat panglima angkatan bersenjata, menurut laporan media separa rasmi Iran.
Sebagai tindak balas, Iran melancarkan beberapa siri serangan balas di sekitar Teluk, menyasarkan apa yang dikenal pasti sebagai kedudukan tentera AS.
Dalam pada itu, Araghchi menegaskan konflik berkenaan tidak akan membawa kemenangan kepada mana-mana pihak dan menegaskan penyerang gagal mencapai objektif mereka.
Beliau turut menekankan komitmen Iran untuk mengekalkan hubungan baik dengan negara-negara Teluk.
“Kami tidak mempunyai masalah dengan negara di seberang Teluk Parsi. Kami mempunyai hubungan persahabatan dan hubungan kejiranan yang baik dengan kesemuanya,” katanya.