Skip to main content

Dunia

Iran terima lebih US$1 bilion hasil minyak dalam tempoh 11 hari

minyak, oil_AP
Lebih US$1 bilion hasil minyak diterima Iran dalam tempoh 11 hari yang berakhir pada 2 Sept. - Gambar fail/AP
Advertisement

ISTANBUL: Lebih US$1 bilion hasil minyak diterima Iran dalam tempoh 11 hari yang berakhir pada 2 Sept, lapor Anadolu Ajansi pada Khamis, memetik agensi berita separa rasmi Fars News Agency.

Memetik dokumen yang diteliti wartawannya, agensi itu berkata mata wang asing daripada hasil berkaitan minyak dimasukkan ke dalam rizab pertukaran asing negara berkenaan.

Laporan itu menyatakan yang dana tambahan itu akan meningkatkan keupayaan Bank Pusat Iran untuk memenuhi keperluan mata wang asing negara.

Ia turut mengesahkan bahawa jualan minyak Iran dalam tempoh lima bulan pertama tahun fiskal semasa menjana hasil bersamaan lebih 80 peratus daripada pendapatan minyak yang diunjurkan dalam bajet Iran bagi 2026-27, yang bermula dari 21 Mac 2026 hingga 20 Mac 2027.

Angka terbaharu itu menyusuli data serupa yang dikeluarkan Kementerian Minyak Iran pada akhir Ogos, yang menunjukkan US$7.5 bilion mata wang asing yang dijana daripada jualan minyak dalam tempoh empat bulan pertama tahun fiskal, dari 21 Mac hingga 22 Julai, dipindahkan kepada Bank Pusat.

Angka tersebut dikeluarkan ketika Washington meningkatkan tekanan ekonomi terhadap Tehran.

Amerika Syarikat baru-baru ini melancarkan “Operation Economic Outcast”, satu kempen yang bertujuan menyekat Iran daripada saluran kewangan global serta mengehadkan keupayaannya menjana dan membawa pulang hasil, termasuk daripada jualan minyak.

Sebagai sebahagian daripada kempen itu, Washington mengenakan sekatan baharu terhadap puluhan entiti, individu dan kapal serta memperluaskan risiko sekatan sekunder terhadap pihak yang terus menjalankan urus niaga dengan Tehran.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

Must Watch Video

Advertisement