ISTANBUL: Ketua agensi pengawal selia perbankan Turkiye, Şahap Kavcıoğlu, meletak jawatan pada Rabu, beberapa hari selepas skandal dana pelaburan bernilai berbilion dolar itu turut mengaitkan pegawai kanan parti AKP pimpinan Presiden Recep Tayyip Erdoğan, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Kavcıoğlu mengumumkan di laman X bahawa beliau telah memohon kepada Erdoğan "kebenaran untuk berundur agar agensi kami tidak terus terjejas", dengan merujuk kepada "dakwaan baru-baru ini" yang melibatkan agensi itu serta dirinya sendiri.
Media tempatan sebelum ini memetik seorang ahli AKP yang mengaitkan Kavcıoğlu dengan skim dana berkenaan.
Peletakan jawatan Kavcıoğlu itu dibuat hanya beberapa jam selepas beliau memberitahu akhbar harian berhaluan pembangkang, Sözcü, bahawa agensinya tiada kaitan dengan dana pelaburan yang menjadi tumpuan skandal terbabit.
Pada pertengahan September, manipulasi harga yang disyaki dilakukan oleh dana pelaburan telah mencetuskan krisis pasaran saham. Pengawal selia kewangan kemudiannya mengarahkan pembubaran 131 dana, yang memberi kesan kepada kira-kira 455,000 pelabur.
Kes berkenaan membawa kepada siasatan, pelbagai tangkapan serta pemecatan di Kementerian Kewangan dan agensi pengawal selia kewangan. Timbalan kepada Kavcıoğlu adalah antara individu yang ditahan.
Minggu lepas, bekas anggota Kabinet dan sekutu lama Erdoğan, Fatma Betül Sayan Kaya, ditahan atas tuduhan melanggar undang-undang pasaran modal serta menganggotai sebuah organisasi jenayah, lapor agensi berita negara, Anadolu.
Kavcıoğlu, yang merupakan bekas gabenor bank pusat, dilantik menerajui Agensi Pengawalseliaan dan Penyeliaan Perbankan pada 2023. Pengganti beliau masih belum dinamakan setakat ini.
-- BERNAMA-dpa