TEHRAN: Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) mendakwa telah menyerang tiga kapal tangki minyak dan tiga kapal yang mempunyai kaitan dengan Amerika Syarikat (AS) di kawasan Selat Hormuz sebagai tindak balas terhadap serangan AS ke atas kapal tangki minyak Iran.
Menurut kenyataan IRGC yang disiarkan media kerajaan Iran, sasaran berkenaan termasuk tiga kapal tangki minyak yang didakwa melalui laluan “tidak dibenarkan” di Selat Hormuz, selain tiga kapal yang dikaitkan dengan AS di kawasan lain.
IRGC turut memberi amaran kepada kapal-kapal yang beroperasi di kawasan berkenaan supaya tidak menggunakan laluan yang dianggap tidak mendapat kebenaran Iran, dengan menyatakan ia berisiko menjadi sasaran serangan.
Dakwaan itu dibuat selepas Tentera Pusat AS (CENTCOM) mengumumkan pihaknya telah menyerang dan memusnahkan tiga kapal tangki minyak Iran yang didakwa mempunyai kaitan dengan IRGC.
Menurut CENTCOM, tindakan itu diambil selepas Iran melancarkan peluru berpandu balistik ke arah dua kapal perang Tentera Laut AS di rantau tersebut.
CENTCOM berkata dua kapal tangki minyak Iran dilumpuhkan berhampiran Pulau Kharg dan Jask, manakala sebuah lagi dimusnahkan di Teluk Oman selepas anak kapalnya diarahkan meninggalkan kapal.
Komander CENTCOM, Laksamana Brad Cooper, berkata serangan itu bertujuan menghantar mesej bahawa AS akan bertindak balas terhadap sebarang serangan ke atas aset ketenteraannya.
Sementara itu, Iran mengancam akan meningkatkan serangan terhadap kapal tentera AS di rantau berkenaan sekiranya Washington meneruskan apa yang disifatkan Tehran sebagai sekatan dan gangguan terhadap perkapalan Iran.
Setakat ini, pihak AS belum mengesahkan dakwaan IRGC bahawa tiga kapal berkaitan AS dan tiga kapal tangki minyak lain telah diserang.
Insiden terbaharu itu menandakan peningkatan ketegangan antara kedua-dua negara di tengah-tengah konflik yang berterusan serta pertikaian mengenai laluan perkapalan strategik di Selat Hormuz, salah satu laluan utama penghantaran minyak dunia.