ISRAEL menyatakan harapan agar pihak berkuasa Arab Saudi membenarkan penerbangan terus kepada umat Islam negara itu yang ingin menunaikan ibadah haji bulan depan.

Menteri Luarnya, Eli Cohen berkata, permintaan tersebut telah dikemukakan dan "isu ini sedang dibincangkan", lapor portal berita Aljazeera.

“Saya tidak boleh memberitahu anda sekiranya terdapat sebarang perkembangan, tetapi saya optimis kita boleh menjalin perdamaian dengan Arab Saudi,” kata beliau dalam wawancara bersama Radio Tentera Israel seperti dilaporkan agensi berita Reuters.

Permintaan yang dikemukan Israel juga merupakan sebahagian daripada usaha untuk memperbaiki hubungan antara kedua-dua negara yang sebelum ini berada dalam keadaan tegang.

Menurut laporan media tempatan, selain perbincangan mengenai penerbangan terus itu, rancangan
untuk membuka Kedutaan Besar Israel di Riyadh juga sedang diusahakan.

Pada masa ini, umat Islam dari Israel dan Palestin yang berkunjung ke Arab Saudi harus melakukan perjalanan melalui negara ketiga.

Sejak tahun 2020, Arab Saudi membenarkan syarikat penerbangan Israel menggunakan ruang udaranya ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain iaitu negara-negara yang telah menjalinkan hubungan normal dengan Arab Saudi.

Israel dan Arab Saudi tidak mempunyai hubungan diplomatik, namun, kedua-duanya telah membuat kemajuan secara beransur-ansur untuk memperbaiki hubungan sejak 2020 sebagai sebahagian daripada usaha yang dirintis oleh Amerika Syarikat untuk memperbaiki hubungan Israel dengan jiran-jiran di negara Teluk.