TEL AVIV: Israel menolak syarat dibentangkan pejuang Hamas untuk menamatkan perang dan membebaskan tebusan termasuk pengunduran sepenuhnya Israel di Gaza, pada Ahad.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, pihaknya tidak akan membiarkan Hamas terus berkuasa di Gaza.

Sementara itu, pegawai kanan Hamas, Sami Abu Zuhri berkata, keengganan pemimpin Israel untuk menamatkan serangan tentera di Gaza bermakna tiada peluang untuk mengembalikan tawanan Israel.

Perjanjian yang diuruskan pada akhir November oleh Amerika Syarikat (AS), Qatar dan Mesir menyaksikan pembebasan lebih 100 daripada anggaran 240 tebusan yang telah ditawan di Gaza semasa serangan Hamas pada 7 Oktober.

Ia sebagai pertukaran untuk pembebasan 240 orang rakyat Palestin yang ditahan di penjara Israel.

Sejak perjanjian itu berakhir, Netanyahu telah menghadapi tekanan yang semakin meningkat untuk membebaskan 136 tebusan yang masih dalam tahanan.

Netanyahu juga mengambil pendekatan lebih kuat dalam isu kenegaraan Palestin berbanding sebelum ini.

Katanya, beliau tidak akan berkompromi dengan kawalan keselamatan penuh Israel ke atas semua wilayah di barat sungai Jordan.

Jumaat lalu, Presiden AS, Joe Biden berkata, beliau bercakap dengan Netanyahu mengenai kemungkinan penyelesaian untuk mewujudkan sebuah negara Palestin yang merdeka dan mencadangkan satu laluan ke arah melibatkan kerajaan bukan tentera.

Bagaimanapun Netanyahu menolak cadangan Biden tentang kenegaraan Palestin selepas perang menentang Hamas di Gaza berakhir.

Dalam kenyataan pada Ahad, Netanyahu mengulangi desakan kawalan keselamatan Israel sepenuhnya ke atas semua wilayah barat Jordan.