KUALA LUMPUR: Malaysia perlu mengadakan rundingan bersama Taliban selepas kumpulan itu kini menguasai Afghanistan sepenuhnya.

Menurut Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ia bagi memastikan bahawa isu kemanusiaan di negara itu diberikan perhatian.

"Secara amnya, kita melihat kepada krisis kemanusiaan itu lebih utama. Di dalam dan luar Afghanistan isu ini berlaku, dan ketika ini Taliban berkuasa di negara itu.

"Sebelum ini kita pernah berdepan dengan rejim yang kejam, jadi saya rasa kita patut adakan rundingan dan memberikan pandangan kita.

"Saya tegasnya Kementerian Luar Negeri perlu terus adakan rundingan dengan pihak Taliban," katanya ketika ditemubual CNBC.

Tambah Anwar, lebih dua dekad kuasa besar seperti Rusia, Amerika Syarikat serta Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) telah meletakkan usaha mereka berdepan dengan kumpulan itu.

Namun masa depan Afghanistan, jelasnya, terletak pada tangan rakyat negara itu.

"Saya mempunyai pandangan tidak bersetuju dengan polisi yang dibawa Taliban, tetapi kita perlu mengadakan rundingan secara diplomatik.

"Adalah lebih baik bagi negara jiran untuk berunding dengan mereka, kerana jika anda diberi pilihan, anda tidak mahu campur tangan asing, dan cukuplah dengan kejadian pengeboman serta semua itu," kata Anwar lagi.

Tegas Anwar, beliau tidak memuji Taliban tetapi pendekatan diplomatik amat perlu dalam memastikan setiap rakyat Afghanistan dapat dibela.