WASHINGTON: Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), JD Vance, berkata matlamat Washington dalam konflik berpanjangan dengan Iran merangkumi dua aspek utama, iaitu memastikan kestabilan ekonomi global melalui kelancaran bekalan tenaga serta menghalang Tehran daripada memperoleh senjata nuklear.
Dalam temu bual bersama hos Fox News, Will Cain, Vance berkata objektif pertama AS adalah memastikan negara-negara Teluk dapat terus mengeksport minyak dan gas ke pasaran dunia selepas penutupan berlarutan Selat Hormuz menjejaskan perdagangan tenaga global.
“Matlamat pertama ialah memastikan negara-negara Teluk terus menghantar minyak dan gas kepada ekonomi dunia supaya kita dapat mengekalkan kestabilan harga tenaga.
“Itulah matlamat utama, memastikan harga minyak dan gas kekal rendah untuk rakyat AS di seluruh negara,” katanya.
Menurut Vance, matlamat kedua pula adalah memastikan Iran tidak berjaya membangunkan senjata nuklear.
“Sudah tentu, matlamat kedua ialah memastikan Iran tidak akan memiliki senjata nuklear.
“Saya yakin kami sedang mencapai kedua-dua matlamat tersebut, namun situasi ini sememangnya sukar dijangka kerana pihak Iran sendiri tidak dapat diramalkan dan kadangkala tidak mematuhi komitmen yang dibuat kepada kami,” katanya.
Ketika ditanya mengenai sifat konflik yang dilihat turun naik serta bagaimana ia dijangka berakhir, khususnya ketika rundingan damai antara AS dan Iran masih menemui jalan buntu, Vance menegaskan beliau percaya konflik itu akan berakhir dengan kedudukan AS yang lebih kukuh.
“Saya fikir konflik ini akan berakhir dengan AS berada dalam kedudukan yang kuat, Iran tidak memiliki senjata nuklear, dan Selat Hormuz kembali beroperasi dalam keadaan yang membolehkan harga minyak dan gas kekal stabil untuk rakyat AS,” katanya.
Selat Hormuz merupakan laluan perkapalan strategik yang menghubungkan negara-negara pengeluar minyak utama di Teluk dengan pasaran antarabangsa dan memainkan peranan penting dalam bekalan tenaga global.
Kenyataan Vance dibuat ketika ketegangan antara Washington dan Tehran terus memuncak, manakala usaha diplomatik untuk mencapai penyelesaian melalui rundingan damai masih belum menunjukkan kemajuan yang ketara.