KUALA LUMPUR:Organisasi Polis Jenayah Antarabangsa (Interpol) sedang bekerjasama rapat dengan 194 negara anggota dalam menangani jenayah siber ketika dunia berhadapan pandemik COVID-19.

Ketua Setiausahanya,  Jürgen Stock berkata, penyelesaian secara global itu penting bagi mewujudkan rangkaian maklumat yang berkesan dalam usaha menangani jenayah siber.

Katanya, pandemik COVID-19 memberi cabaran besar kepada usaha sama antara negara anggota.

Ia termasuk kerja-kerja penyiasatan secara digital yang dilaksanakan sepenuhnya dalam tempoh pandemik berkenaan.

"Virus COVID-19 ketika ini sedang merebak ke seluruh dunia. Kami sedang membiasakan diri dengan situasi yang dinamik yang saya tak pernah lalui sepanjang karier saya sebagai polis.

"Virus menjangkiti seluruh dunia dan jenayah (siber) juga turut sama berjalan. 

"Malah ia terus mencari kelemahan dalam masyarat, termasuk di hospital, sehingga ke peralatan perubatan dan menuntut kita mencari peralatan perlindungan peribadi," katanya Sesi Kedua Forum Ekonomi Dunia (WEF) bertajuk "Menolak Pandemik Siber" secara maya pada Sabtu.

Malah ketika ini katanya, Interpol sedang mencari jalan untuk memastikan 194 anggota sentiasa bersedia untuk melakukan pemantauan jenayah antarabangsa.

"Apa yang kami peroleh ialah respons kordinasi yang baik daripada anggota. Pada masa ini, dunia memerlukan kerjasama yang baik seperti ini untuk mengatasi pandemik jenayah siber," ujarnya lagi.

Perkembangan teknologi dan siber yang digunapakai pihak syarikat, industri, infratruktur, sektor swasta menuntut INTERPOL untuk terus memperkasakan undang-undang sedia ada seperti yang dipersetujui bersama 194 anggota.

"Daripada anggota ini, kita boleh mendapatkan kepakaran dari rangkaian antarabangsa dan meningkatkan pembangunan kemudahan keselamatan siber untuk  memastikan kerjasama yang lebih strategik. 

Katanya lagi, banyak lagi isu-isu antarabangsa yang perlu  diselesaikan secara bersama dan menuntut semua kerjasama antara negara.

"Kami akan terus memainkan peranan penting dengan memastikan jenayah antabangsa akan dapat ditangani,"ujarnya.