JAKARTA: Jenazah Ketua Dewan Pers Indonesia, Prof Azyumardi Azra yang meninggal dunia akibat sakit jantung di Malaysia pada Ahad, dikebumikan di Taman Makam Pahlawan, Jakarta Selatan hari ini.

Dewan Pers adalah sebuah badan bebas yang ditubuhkan untuk mengembangkan dan melindungi media massa di Indonesia.

Upacara pengebumian intelektual dan tokoh pendidikan itu disempurnakan pagi tadi dengan istiadat ketenteraan diketuai Menteri Koordinator Bidang Pembangunan Manusia dan Kebudayaan, Muhadjir Effendy.

Selain keluarga, kenalan dan tokoh masyarakat, turut hadir ialah Ketua Polis Indonesia Jenderal Listyo Sigit Prabowo dan mantan Naib Presiden Indonesia Jusuf Kalla.

Terdahulu, jenazah bekas Rektor Universiti Islam Negeri (UIN) Syarif Hidayatullah Jakarta, 1998-2006, disembahyangkan di Auditorium Harun Nasution di universiti berkenaan.

Setibanya di Lapangan Terbang Soekarno Hatta malam tadi dari Malaysia diiringi keluarga dan Duta Besar Indonesia ke Malaysia Hermono, jenazah di bawa ke kompleks kediaman di Tangerang Selatan.

Keperluan pentadbiran pengiriman jenazah diselesaikan dengan kerjasama Kementerian Luar Negeri Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Hospital Serdang, kata Hermono dalam satu kenyataan.

Azyumardi, 67, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Serdang, Selangor pada Ahad selepas dimasukkan ke hospital kerana sesak nafas pada Jumaat, sebaik tiba dari Indonesia untuk lawatan kerja.

UIN News melaporkan beliau telah dianugerahkan 'The Order of the Rising Sun: Gold and Silver Star' daripada kerajaan Jepun pada 2017 kerana meningkatkan pertukaran akademik dan persefahaman.

Pada 2010, beliau yang dilahirkan di Sumatera Barat diberi gelaran 'Commander of the Order of the British Empire of Queen Elizabeth II' dari kerajaan Britain atas sumbangan memupuk persefahaman antara agama.
- BERNAMA