TOKYO: Kerajaan Jepun pada Khamis melonggarkan peraturan visa untuk membolehkan pelajar asing tinggal dan mencari pekerjaan di negara ini, lapor Agensi Berita Emirates (WAM) memetik media tempatan.

Menurut Agensi Perkhidmatan Imigresen Jepun, kerajaan akan membenarkan pelajar yang telah menamatkan pengajian di sekolah teknik kerajaan untuk bekerja dalam sektor yang tidak semestinya berkait rapat dengan bidang yang mereka pelajari.

Langkah baharu itu dijangka meningkatkan bilangan pelajar asing yang tinggal di Jepun untuk bekerja kepada 3,000 setahun.

Sebelum ini, ramai pelajar asing yang memperoleh tahap kemahiran teknikal dan mahir dalam bahasa Jepun di sekolah teknik tertentu, terpaksa pulang ke negara asal selepas gagal mencari pekerjaan yang sepadan dengan kemahiran atau pengetahuan mereka.

Selain itu, kerajaan turut meluaskan skop pelajar asing yang boleh tinggal di Jepun untuk bekerja di bawah visa "aktiviti yang ditetapkan", membolehkan mereka bekerja dalam pelbagai bidang.

Visa yang diluluskan sebelum ini hanya membabitkan pelajar yang telah menamatkan pengajian dari universiti.

Pelajar yang mempunyai kemahiran yang tinggi dan pendidikan setara ijazah sarjana muda, termasuk yang telah menamatkan program empat tahun di sekolah teknik yang ditetapkan layak untuk memperoleh visa berkenaan.

Menurut kaji selidik Pertubuhan Perkhidmatan Pelajar Jepun pada 2021, daripada kira-kira 2,000 pelajar asing yang mendaftar di sekolah teknik di negara itu, kira-kira 75 peratus mahu bekerja di Jepun.

-- BERNAMA