GAZA: Jumlah kematian rakyat Palestin akibat serangan berterusan Israel ke atas Semenanjung Gaza telah meningkat kepada 35,984 orang, kata pihak berkuasa kesihatan di wilayah Palestin dalam satu kenyataan pada Ahad, lapor Xinhua.

Tentera Israel membunuh 81 rakyat Palestin dan mencederakan 223 yang lain dalam tempoh 24 jam yang lepas, menjadikan jumlah keseluruhan kematian kepada 35,984 dan kecederaan kepada 80,643 sejak konflik Palestin-Israel tercetus pada Oktober 2023.

Kenyataan itu menyatakan bahawa beberapa mangsa masih berada di bawah runtuhan akibat pengeboman bertalu-talu dan kekurangan pasukan penyelamat.

Sementara itu, Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin Di Asia Barat (UNRWA) dalam hantarannya di laman X (dahulunya Twittter) berkata konflik di Gaza terus menjadi perang ke atas orang awam, dengan mencatatkan bahawa "kematian orang awam, pemindahan, pemusnahan rumah dan infrastruktur awam yang penting terus berlanjutan tanpa henti".

"Tiada tempat yang selamat di Gaza, kita memerlukan gencatan senjata sekarang," kata UNRWA.

-- BERNAMA