Jabatan Kesihatan di Hubei melaporkan kes baharu jangkitan wabak koronavirus (COVID-19) meningkat kepada 14,840 pada Khamis.

Jumlah itu sekali gus merekod peningkatan hampir 10 kali ganda selain angka kematian yang kini mencatat jumlah pertambahan dua kali ganda iaitu 242.

Pertambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan kes COVID-19 di China hampir 50,000 dengan lebih 1,360 kematian.

Terdahulu pada Rabu, pihak berkuasa di wilayah Hubei menyatakan jumlah kematian di situ ialah seramai 94 orang, manakala 1,638 pula merupakan kes baharu.

Dalam pada itu, daripada jumlah keseluruhan kes baharu yang dilaporkan, 13,436 daripadanya disahkan di Hubei, lokasi pertama wabak COVID-19 itu mulai tular.

COVID-19 kini dilaporkan telah berjangkit di sekitar 30 negara dengan jumlah pesakit melebihi 60,000.

BACA: Doktor Wuhan pakai lampin, kurang ke tandas, berterusan bertugas

BACA: UK sahkan kes ke-9

BACA: Pesakit disahkan positif COVID-19 selepas pulang dari Bali


Dalam perkembangan lain, barisan doktor di bandar Wuhan terus berusaha merawat pesakit sehingga ada yang terpaksa menyarungkan lampin bagi mengurangkan minum air atas alasan mahu terus menggunakan peralatan topeng muka dan pakaian keselamatan tanpa henti.

Lazimnya, setiap kali ke tandas, peralatan keselamatan yang dipakai perlu dibuang dan diganti baharu.

Mereka yang bertugas di barisan hadapan menghadapi bebanan peningkatan jumlah kes setiap hari walhal diri mereka sendiri terdedah kepada jangkitan daripada pesakit yang dirawat.