KIEV: Perdana Menteri Ukraine Denys Shmyhal dilaporkan mengadakan mesyuarat tergempar dengan Suruhanjaya Kecemasan dan Hal Ehwal Dalam Negeri Ukraine pada Selasa.

Ia merupakan susulan serangan ke atas Loji Kuasa Hidroelektrik Kakhovka di Kherson, Ukraine.

Dalam pada itu, Shmyhal melaporkan tiada kecederaan setakat ini manakala rakyat di kawasan terjejas akan dipindahkan ke kawasan selamat.

Insiden itu menyaksikan Moscow dan Kiev sekali lagi saling menuding jari menyalahkan antara satu sama lain sebagai dalang bertanggungjawab.

Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy dalam ciapan di Twitter menegaskan dengan kemusnahan empangan bahawa mereka (pasukan Rusia) mesti diusir dari setiap sudut tanah Ukraine.

Sementara itu, ketua pentadbiran bandar Nova Kakhovka yang disokong Moscow, Vladimir Leontiev mendakwa kawasan tadahan air itu sengaja diletupkan oleh tentera Ukraine dan memusnahkan injap pintu empangan, sekali gus menyebabkan aliran air tidak terkawal di seluruh zon perang dan kenaikan air dalam waktu singkat.

Dalam masa sama, Ketua Perintah selatan Ukraine, Vladislav Nazarov yang turut mengesahkan berita itu berkata sebahagian empangan telah musnah, dan menyebabkan banjir.

Empangan Kakhovka berukuran setinggi 30 meter dan sepanjang 3.2 kilometer (km) ditawan Rusia sejak kempen pencerobohan ke atas Ukraine bermula pada Februari 2022.

Ia membekalkan air kepada Semenanjung Crimea yang diilhak Kremlin pada 2014 dan kemudahan nuklear Zaporizhzhia. Insiden itu didakwa tidak mencetuskan ancaman keselamatan nuklear.