SEORANG kanak-kanak di Texas, Amerika Syarikat dilaporkan hilang sejak Sabtu lalu selepas diarah bapanya berdiri di tepi sebatang pokok sebagai hukuman kesalahan yang dilakukan.

Sherin Matthews, 3 tahun, diarahkan bapanya, Wesley, untuk berbuat demikian pada jam 3 pagi Sabtu lalu, sebagai hukuman kerana tidak mahu menghabiskan susunya.

Pokok itu terletak kira-kira 30 meter dari rumah mereka di bandar Richardson, Dallas, Texas.

Namun 15 minit kemudian, apabila Wesley mahu mendapatkan anaknya itu kembali, Sherin sudah tiada di situ.

Wesley bagaimanapun hanya menghubungi polis kira-kira lima jam selepas itu.


NBC News melaporkan, polis menahan Wesley atas tuduhan cuai, namun dibebaskan dengan jaminan.

Polis juga menolak andaian kanak-kanak itu dibaham koyote, yang sering dilihat berkeliaran di kawasan kejiranan itu.

Ini kerana, tiada bukti untuk membuat andaian sebegitu.

Pihak berkuasa sebelum ini mengeluarkan amber alert (isyarat kecemasan untuk kanak-kanak yang diculik), namun ia telah ditarik balik.