Sebuah kapal pemusnah tentera laut Amerika Syarikat (AS) belayar menghampiri kepulauan yang dituntut China di Laut China Selatan pada Ahad.

Tindakan tersebut dilihat bakal membangkitkan kemarahan Beijing ketika hubungan kedua-dua negara semakin tegang.

Beijing dan Washington terperangkap dalam perang perdagangan yang menyaksikan dua negara itu mengenakan tarif tinggi ke atas bahan import kedua-dua pihak.

Pegawai AS yang enggan dikenali berkata, kapal pemusnah Decatur itu belayar pada jarak 12 batu nautika dari terumbu karang Gaven dan Johnson di Kepulauan Spratly.

Operasi itu adalah cubaan terbaru untuk menangani apa yang dilihat Washington sebagai usaha Beijing untuk mengehadkan kebebasan belayar di perairan strategik itu.