Kebakaran besar landa tapak kediaman menteri propaganda Nazi di Berlin

Semasa era Jerman Timur, tapak itu digunakan oleh Belia Jerman Bebas, pertubuhan belia rasmi negara komunis itu. - Gambar hiasan
BERLIN: Satu kebakaran besar berlaku di sebuah tapak bersejarah di utara Berlin yang pernah menempatkan kediaman desa yang dibina untuk menteri propaganda Nazi, Joseph Goebbels, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) dengan memetik kenyataan polis pada Khamis.
Saksi melaporkan asap keluar dari sebuah bangunan di tapak Bogensee di bandar Wandlitz pada Rabu malam, sekali gus mencetuskan tindak balas kecemasan, menurut polis dalam satu kenyataan.
Puluhan anggota bomba pada awalnya berusaha memadam kebakaran di struktur bumbung, yang kemudiannya merebak ke seluruh bangunan.
Operasi memadam kebakaran masih diteruskan dan belum selesai sepenuhnya, menurut polis.
Kompleks Bogensee merangkumi beberapa bangunan dan paling dikenali dengan vila yang dibina untuk Goebbels semasa era Nazi. Menurut polis, vila Goebbels bagaimanapun tidak terjejas oleh kebakaran.
Semasa era Jerman Timur, tapak itu digunakan oleh Belia Jerman Bebas, pertubuhan belia rasmi negara komunis itu.
Selepas penyatuan semula Jerman, ia berfungsi sebagai pusat persidangan. Hartanah berkenaan tidak lagi digunakan sejak 2000 dan sejak itu terbiar serta mengalami kerosakan.
Tapak Bogensee, meliputi kawasan seluas 16 hektar, dimiliki oleh bandar raya Berlin. Oleh kerana Berlin tidak mempunyai dana mahupun minat untuk membangunkan kawasan itu, ia memberikan tanah itu kepada Wandlitz.
Menurut polis, tiada yang cedera dalam kebakaran itu dan siasatan sedang dilakukan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


