DAR ES SALAAM: Sepasukan 134 anggota bomba di Tanzania dikerah ke Gunung Kilimanjaro bagi menangani kebakaran hutan yang telah marak selama hampir seminggu, menurut pihak berkuasa pada Jumaat.

Kebakaran berlaku berhampiran kawasan Indonet-Rongai di daerah Rombo, Agensi Anadolu memetik kenyataan Pihak Berkuasa Taman Negara Tanzania (TANAPA).

Pegawai kanan pemuliharaan TANAPA bahagian komunikasi, Catherine Mbena berkata punca sebenar kebakaran yang bermula 3 Sept lepas masih dalam siasatan.

"Kami masih dalam proses menentukan punca dan akan memaklumkan kepada orang ramai apabila kami mendapat maklumat yang mencukupi," katanya kepada Anadolu.

Walaupun usaha memadam kebakaran berterusan, aktiviti pelancongan di sekitar Kilimanjaro diteruskan tanpa gangguan, Joachim Kimario, seorang penduduk Rombo, memberitahu Anadolu.

Walaupun beberapa hektar hutan telah musnah, beliau berkata kebakaran sebahagian besarnya berjaya terkawal.

Kilimanjaro, setinggi 5,895 meter, amat terdedah kepada kebakaran hutan akibat kemarau yang diburukkan lagi oleh perubahan iklim dan peningkatan aktiviti manusia, menurut pakar.

Gunung itu menarik kunjungan kira-kira 50,000 pelancong setiap tahun.

Kebakaran hutan dan pembalakan haram yang berleluasa telah mengganggu ekosistem di sekitar taman, menjejaskan kawasan hutan di sekitar kawasan pergunungan, menurut pihak berkuasa.

-- BERNAMA