RIO DE JANEIRO: Kebakaran hutan tercetus berhampiran Villa de Leyva, sebuah destinasi pelancongan popular di Colombia dan menjejaskan ratusan hektar kawasan, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa) memetik pihak berkuasa.
Agensi pengurusan bencana Colombia, UNGRD pada Isnin memaklumkan kira-kira 290 hektar kawasan terjejas akibat kebakaran itu.
Beberapa penduduk serta tetamu dari dua hotel dipindahkan sebagai langkah berjaga-jaga. Tiada kematian atau kecederaan serius dilaporkan.
Sementara itu, seramai 37 orang menerima rawatan perubatan, kebanyakannya petugas kecemasan, menurut stesen radio Blu Radio.
Lebih 400 anggota kecemasan dan sukarelawan kini bertungkus-lumus mengawal kebakaran berkenaan.
“Terdapat juga risiko bahawa Rizab Alam Semula Jadi Iguaque, antara kawasan perlindungan hidupan liar dan tumbuhan terpenting di Colombia, boleh mengalami kerosakan yang tidak dapat dipulihkan,” kata Gabenor Boyacá Carlos Amaya kepada Caracol Radio.
Villa de Leyva mengisytiharkan keadaan bencana susulan kebakaran itu.
Kira-kira separuh daripada kawasan kebakaran kini dianggap terkawal, namun angin kencang di kawasan pergunungan menyukarkan operasi pemadaman dan berisiko mencetuskan kebakaran baharu.
Punca kebakaran masih belum dikenal pasti, manakala pihak berkuasa turut menyiasat sama ada aktiviti manusia mungkin menjadi antara penyebab.
Villa de Leyva terletak kira-kira 165 kilometer di utara Bogotá dan terkenal sebagai destinasi pelancongan kerana seni bina kolonialnya yang terpelihara serta kawasan pusat bandar bersejarah.
-- BERNAMA-dpa