Setiap kejayaan yang diraih dan cabaran yang dihadapi WeMalaysia sepanjang 2016 menjadi titik permulaan kepada masa depan cemerlang pelajar Malaysia di luar negara secara keseluruhannya.

Timbalan Pengerusi WeMalaysia Australia, Nur Naqiuddin Mdd Nordin berkata, ia kejayaan bersama agensi-agensi kerajaan terutamanya Education Malaysia Australia yang banyak memberikan sokongan yang dorongan bagi WeMalaysia Australia untuk berkembang lebih jauh kehadapan.

Jelasnya, ia termasuk persatuan-persatuan pelajar yang berpenat lelah bagi menganjurkan program-program dalam merealisasikan objektif-objektif penubuhan WeMalaysia selama ini.

"Kesemua kejayaan ini berjaya diperolehi hasil daripada sokongan rakyat Malaysia terhadap WeMalaysia. Tahun 2016 telah menjadi saksi kepada jatuh dan bangunnya rakyat Malaysia bersama-sama. Pada awal tahun 2016, kita dikejutkan dengan kejatuhan harga minyak. Ia pastinya memberi impak kepada rakyat Malaysia.

"Namun, dipertengahannya kita telah diserikan dengan kemenangan pasukan Olimpik dan Paralimpik Malaysia di Rio, Brazil. Syabas wira-wira Negara kerana berjaya merangkul pingat dan mengharumkan nama negara.

"Baru-baru ini, ketika tahun 2016 ingin melabuhkan tirai, kita sekali lagi dikhabarkan dengan berita gembira bahawa resolusi Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah mengecam penempatan haram Israel di Palestin. Ini mungkin menjadi titik perubahan bagi seluruh dunia," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.

Katanya, pada tahun ini juga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah memperkenalkan satu agenda baharu yang menjadi arah tuju kerajaan Malaysia menjelang tahun 2050 iaitu Transformasi Nasional 2050 atau TN50.

"Agenda ini bertujuan untuk mengubah Malaysia menjadi negara yang lebih berkaliber serta berfikiran yang baru dan tahun 2017 merupakan tahun pertama perlaksanaan agenda tersebut," jelasnya.

Katanya lagi, WeMalaysia merupakan sebuah pertubuhan untuk membina dan meneruskan idea dan amalan dalam merealisasikan semangat patriotik rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelajar, penduduk dan penduduk tetap di luar negara (Australia, Amerika Syarikat dan United Kingdom).

"Ia dilakukan melalui pelaksanaan program-program yang merangkumi aspek patriotik, kebudayaan, nilai-nilai murni dan bina negara. Tahun 2016 juga merupakan tahun kedua WeMalaysia Australia menggapai pelbagai pencapaian daripada aspek patriotik, budaya, nilai-nilai murni dan bina negara.

"Pada bulan Ogos yang lalu, WeMalaysia telah mengadakan program terbesar iaitu 'WeMalaysia Merdeka Road Tour' dengan kolaborasi bersama persatuan- persatuan pelajar Malaysia di Australia bertujuan bagi menyemarakkan semangat patriotik di kalangan pelajar juga diaspora yang menetap di Australia secara amnya.

"Program yang diadakan di bandar Brisbane, Sydney, Adelaide dan Perth ini mendapat sambutan yang sangat memberangsangkan dengan kehadiran lebih 800 orang . Selain itu, program ini turut diserikan dengan kehadiran artis-artis jemputan seperti Datuk Fazley Yaakob, Imran Ajmain dan Arlina Banana," ujarnya.

Dalam pada itu ketika mengulas mengenai desas-desus Nur Naqiuddin bakal menggantikan Pengerusi WeMalaysia sekarang Muhammad Ali Halim Sirat yang telah menerajui WeMalaysia sejak 2015, Naqiuddin percaya gandingan lama dan baru akan mencetuskan fenomena membuktikan dua generasi boleh membentuk paradigma ke arah yang lebih positif dan kerjasama yang pragmatik.

"Tahun 2017 sudah pun tiba, dan ia membawa harapan untuk memacu perkembangan negara ke arah negara berprestasi tinggi.

"Justeru, tahun baru 2017 adalah wadah terbaik bagi kita semua untuk berusaha gigih dan menjadi lebih produktif dalam menjayakan misi negara dan kesejahteraan hidup.

"Semoga tahun 2017 penuh dengan kebahagiaan, kesenangan, kesihatan, kejayaan dan kedamaian," ujarnya.