INTERNATIONAL
Kemboja perkukuh tindakan tegas terhadap jenayah pemerdagangan orang

Bun Eng menegaskan, komitmen kerajaan untuk membanteras semua bentuk pemerdagangan orang dan eksploitasi seksual bagi menegakkan hak asasi manusia serta keadilan sosial. - Gambar fail
HANOI: Pihak berkuasa Kemboja pada Khamis menegaskan yang negara itu meningkatkan usaha membanteras jenayah pemerdagangan orang dan eksploitasi seksual tahun lalu, dengan merekodkan 197 kes, meningkat 20 peratus berbanding 164 kes pada tahun sebelumnya.
Menurut Agensi Berita Vietnam (VNA), Setiausaha Negara di Kementerian Dalam Negeri merangkap Naib Pengerusi Tetap Jawatankuasa Kebangsaan bagi Membanteras Pemerdagangan Orang (NCCT), Chou Bun Eng, agensi penguat kuasa menahan 273 suspek, termasuk 30 warga asing, serta menyelamatkan 523 mangsa.
Beliau bimbang dengan peningkatan kes pemerdagangan kanak-kanak dan eksploitasi seksual, sama ada dalam talian atau luar talian.
Daripada jumlah mangsa yang diselamatkan, 230 daripadanya adalah kanak-kanak di bawah umur 18 tahun, mewakili hampir 44 peratus daripada keseluruhan kes.Kes pemerdagangan orang di Kemboja sering dikaitkan dengan penipuan, pertikaian buruh, pekerjaan tidak sah dan masuk ke sesuatu negara secara haram.
Bun Eng menegaskan, komitmen kerajaan untuk membanteras semua bentuk pemerdagangan orang dan eksploitasi seksual bagi menegakkan hak asasi manusia serta keadilan sosial.
Bulan lalu, Perdana Menteri, Hun Manet sekali lagi menegaskan pendirian tegas Kemboja terhadap penculikan, jenayah siber dan pemerdagangan orang, serta berikrar untuk mengambil tindakan keras terhadap semua aktiviti jenayah berkaitan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami