Skip to main content

Dunia

Kementerian Luar Norway cadang rang undang-undang larang perdagangan dengan penempatan haram Israel di Tebing Barat

Israel re-establishes West Bank settlement after 20 years
Aktiviti petempatan Israel di Tebing Barat kekal menjadi punca pertikaian utama antara komuniti antarabangsa dan Pihak Berkuasa Palestin. - Foto fail/REUTERS
Advertisement

MOSCOW: Kementerian Luar Norway pada Jumaat memaklumkan bahawa ia telah mengemukakan cadangan untuk meluluskan undang-undang yang melarang perdagangan dengan petempatan haram Israel di Tebing Barat, lapor Sputnik/RIA Novosti.

"Warganegara dan syarikat Norway tidak boleh menyumbang kepada pengekalan petempatan haram... hari ini, Kementerian Luar mengumumkan perundingan mengenai cadangan rang undang-undang baharu yang melarang perdagangan barangan yang dihasilkan di petempatan Israel di Palestin yang melanggar undang-undang antarabangsa," menurut kenyataan itu.

Rang undang-undang berkenaan merangkumi larangan terhadap import dan eksport barangan dari petempatan Israel di Tebing Barat, serta pembelian hartanah dan penyediaan perkhidmatan yang berkaitan dengan pembinaan serta penjualan hartanah, kata kenyataan itu lagi.

Kementerian itu juga berhasrat untuk mengharamkan pembelian syarikat yang mempunyai ibu pejabat dan kemudahan pengeluaran yang terletak di petempatan Israel.

"Petempatan Israel di Palestin melanggar undang-undang antarabangsa... kami berhasrat untuk melarang perdagangan dengan petempatan haram berkenaan.

Dengan mencadangkan larangan yang mengikat secara sah, kerajaan menjelaskan bahawa warganegara dan syarikat Norway tidak boleh meraih keuntungan daripada atau menyokong aktiviti yang membantu mengekalkan aktiviti petempatan haram Israel di Palestin," kata Menteri Luar Norway Espen Barth Eide yang dipetik dalam kenyataan itu.

Aktiviti petempatan Israel di Tebing Barat kekal menjadi punca pertikaian utama antara komuniti antarabangsa dan Pihak Berkuasa Palestin. 

Rakyat Palestin menyifatkan perkara itu sebagai dasar untuk mengukuhkan kedudukan rejim Zionis di wilayah mereka.

-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI

 

 

Must Watch Video

Advertisement