Keputusan awal tunjuk Museveni mendahului Pilihan Raya Presiden Uganda

Museveni yang bertanding untuk penggal ketujuh selama lima tahun, memperoleh 75.38 peratus undi yang dikira setakat ini. - Foto AP
KAMPALA: Keputusan awal Pilihan Raya Presiden Uganda menunjukkan penyandang Presiden Yoweri Museveni, mendahului saingan, menurut badan pengendali pilihan raya negara itu pada Jumaat, lapor Xinhua.
Dalam mengumumkan kelompok ketiga keputusan, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Simon Byabakama berkata Museveni yang bertanding untuk penggal ketujuh selama lima tahun, memperoleh 75.38 peratus undi yang dikira setakat ini.
Pencabar terdekatnya, Robert Kyagulanyi yang lebih dikenali sebagai Bobi Wine, memperoleh 20.71 peratus, manakala baki undi dikongsi oleh enam calon lain.
Byabakama berkata kira-kira 7.7 juta undi telah dikira, namun tidak mendedahkan jumlah keseluruhan kertas undi dalam Pilihan Raya Presiden pada Khamis.
Mengikut peraturan pilihan raya, seseorang calon perlu memperoleh lebih daripada 50 peratus jumlah undi sah untuk diisytiharkan sebagai pemenang.
Byabakama berkata hari pengundian berlangsung secara umumnya tenang dengan hanya beberapa insiden kecil dilaporkan dan menggesa orang ramai agar bertenang sementara keputusan terus dikumpulkan di seluruh negara. Keputusan muktamad dijangka diumumkan pada Sabtu.
Uganda pada Khamis mengadakan pilihan raya presiden dan parlimen, dengan lebih 21 juta rakyat Uganda mengundi bagi memilih presiden serta 353 ahli parlimen yang dipilih secara langsung.
--BERNAMA-XINHUA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


