GOOGLE Street View yang membenarkan pengguna untuk melihat gambar pemandangan jalan raya dan bangunan merupakan anda ciri popular milik Google.

Namun, tidak semua negara senang dengan ciri ini atas dasar keselamatan.

Terbaru, India telah menolak perancangan Google untuk merakam gambar jalan raya dan bangunan di negara itu untuk Google Street View.

Memetik laporan BBC.com, agensi keselamatan di India bimbang ciri itu akan menjejaskan keselamatan negara.

"Kebimbangan utama adalah keselamatan di tempat sensitif.

"Kementerian Pertahanan berkata ia tidak mungkin boleh memantau perkhidmatan itu selepas ia dilancarkan dan ia akan memudaratkan keselamatan negara," kata seorang pegawai kanan kerajaan dipetik daripada akhbar The Hindu.

Laporan yang sama turut berkata bahawa pihak polis di Bangalore pada 2011 pernah menghentikan Google daripada merakam gambar-gambar jalanraya di daerah itu.

Polis membantah tindakan tersebut walaupun ia dilakukan oleh pihak Google dalam “fasa eksperimen” menggunakan kereta dan basikal.

Google Street View dilancarkan pada 2007 dan meliputi beberapa besar Amerika Syarikat dan dunia.

Di Malaysia, kereta Street View mula bergerak pada tahun 2013 untuk merakam gambar pemandangan jalan raya dan lebuh raya di Malaysia.

BACA: Diversiti Malaysia di Google Street View

Bagi kawasan-kawasan bukan jalan utama (off road), imej diambil oleh ‘Street View Trekker’ menggunakan sistem kamera diletakkan pada beg sandang.

Manakala bagi pemandangan laut pula, pasukan Street View menaiki bot (canoe) untuk merakam imej persekitaran.