BANGKOK: Kes COVID-19 di Thailand sekali lagi mencatatkan rekod tertinggi pada Sabtu dengan 18,912 kes baharu dan 178 kematian dilaporkan dalam tempoh 24 jam.

Setakat ini, jumlah keseluruhan kes sebanyak 597,287 dan 4,857 kematian sejak wabak mula menular Januari tahun lalu.

Manurut kenyataan Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA), kes baharu itu merangkumi 18,812 penularan tempatan dan 10 kes import. Jumlah itu termasuk 810 banduan.

Korban terbaru melibatkan 92 lelaki dan 86 wanita berusia antara 15 hingga 97 tahun termasuk 174 rakyat tempatan, dua warga Cina dan masing-masing seorang warga Kemboja dan Myanmar.

"Sebanyak 12 orang meninggal dunia di rumah termasuk lima di Bangkok," menurut CCSA.

Sejumlah 200,510 pesakit masih dirawat di hospital dan hospital medan di seluruh negara termasuk 4,691 dalam keadaan kritikal dan 1,032 memerlukan sokongan alat bantuan pernafasan.

Berikutan peningkatan mendadak kes, ratusan orang memenuhi pusat vaksinasi di Bang Sue Grand Station, Bangkok, untuk mendapatkan suntikan.

Media tempatan melaporkan lebih 10,000 orang mengunjungi pusat vaksinasi kerana hari ini hari terakhir untuk perkhidmatan vaksinasi secara walk-in.

Perkhidmatan walk-in disediakan untuk warga emas dan golongan berisiko, wanita hamil serta obesiti.

Bermula esok, orang ramai perlu membuat janji temu terlebih dahulu untuk mendapatkan vaksinasi COVID-19.