Kementerian Kesihatan Arab Saudi berkata status kesihatan jemaah haji dalam keadaan baik dan setakat ini tiada kes COVID-19 dilaporkan dalam kalangan jemaah, lapor Agensi Berita Arab Saudi (SPA).

Pembantu Menteri Kesihatan dan jurucakap kementerian, Dr Mohammed Al-Abdulaali, berkata demikian pada taklimat media harian untuk musim haji tahun ini di Makkah.

Dr Al-Abdulaali merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Raja Arab Saudi Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud dan Putera Mahkota atas keprihatinan yang diberikan terhadap jemaah.

Beliau berkata tahun ini, kementerian telah bersiap sedia untuk memberikan perkhidmatan kesihatan sebaik mungkin dengan menyediakan beberapa kemudahan di kawasan suci itu.

Antara kemudahan itu termasuk enam hospital, 51 klinik, 200 ambulans, 62 pasukan petugas di lapangan serta hospital lapangan, klinik bergerak dan tiga klinik di kediaman jemaah.

Kementerian juga melantik seorang ketua kesihatan bagi setiap kumpulan jemaah.

Dr Al-Abdulaali juga menyeru jemaah dan petugas mematuhi semua langkah pencegahan, termasuk penjarakan sosial, memakai pelitup muka dan menjaga kebersihan diri.

-- BERNAMA