GENEVA: Peningkatan ketahanan terhadap antibiotik dan ubat-ubatan lain berisiko menjadikan pembedahan rutin serta proses bersalin mengancam nyawa, selain menjejaskan masa depan perubatan moden, menurut amaran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Isnin, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
“Ketahanan antibiotik, atau dalam konteks lebih luas dikenali sebagai ketahanan antimikrob (AMR), semakin berleluasa dan mengancam masa depan perubatan moden,” kata pakar WHO Jean Pierre Nyemazi.
Pesakit kanser dan individu yang menghidap penyakit kronik turut berdepan risiko lebih tinggi akibat jangkitan yang disebabkan oleh bakteria, virus atau kulat yang tidak lagi memberikan tindak balas terhadap rawatan sedia ada.
WHO menggesa negara-negara mempergiat usaha menangani ketahanan antimikrob sempena minggu kesedaran yang berlangsung dari 18 hingga 24 Nov.
Nyemazi berkata dianggarkan lebih sejuta orang meninggal dunia akibat langsung ketahanan antimikrob pada 2021.
Beliau berkata jika trend semasa berterusan, unjuran berdasarkan pemodelan menunjukkan ketahanan antimikrob boleh menyebabkan 39 juta kematian di seluruh dunia dalam tempoh 25 tahun akan datang.
Bilangan bakteria yang mempunyai ketahanan terhadap ubat-ubatan yang lazim digunakan semakin meningkat, sedangkan terlalu sedikit antibiotik baharu dibangunkan.
“Mencegah jangkitan merupakan antara kaedah paling berkesan untuk mengurangkan keperluan penggunaan antibiotik,” kata pakar WHO Pravarsha Prakash.
Bagaimanapun, hanya lebih sedikit daripada satu pertiga negara telah melaksanakan sepenuhnya garis panduan WHO mengenai pencegahan jangkitan di seluruh negara.
Menurut WHO, masih terlalu banyak negara yang jauh daripada mencapai sasaran yang ditetapkan oleh Perhimpunan Kesihatan Sedunia pada 2024 untuk dicapai menjelang 2030.
Sasaran itu merangkumi pencegahan jangkitan, penggunaan ubat-ubatan di hospital, keupayaan menjalankan ujian serta pemantauan ketahanan antimikrob.
-- BERNAMA-dpa