Lebih 500 warga Palestin kini dirawat di hospital-hospital di Gaza setelah mengalami kecederaan berikutan protes besar-besaran di sempadan Gaza-Israel pada Jumaat.

Angka itu termasuk 200 orang yang cedera akibat serangan peluru hidup oleh tentera Israel.

Kementerian Kesihatan Palestin di Gaza mengesahkan, seorang kanak-kanak lelaki turut menjadi korban akibat peluru yang ditembak di bahagian kepalanya.

Pihak kementerian turut mendaftarkan 955 orang yang cedera, di mana 528 daripada angka tersebut memerlukan rawatan perubatan.

Jumlah itu termasuk 178 yang cedera akibat serangan peluru hidup manakala 299 mangsa diserang dengan gas pemedih mata.

Jumaat lepas, beribu-ribu warga Palestin terlibat dalam protes pusingan kelima Perarakan Kepulangan Besar-besaran yang dianjurkan secara mingguan bagi membolehkan mereka menuntut hak untuk kembali semula ke tanah air mereka.

Tiga warga Palestin lain dilaporkan turut terkorban dalam insiden pada Jumaat.

Setakat ini, 39 warga Palestin termasuk empat orang kanak-kanak bawah umur terkorban sejak bermulanya perarakan pada penghujung Mac.