Skip to main content

Dunia

Ketua kartel dadah terkenal Ismael Zambada dihukum penjara seumur hidup di AS

Members of the Drug Enforcement Administration (DEA) arrive to attend the sentencing hearing for Ismael "El Mayo" Zambada, the Sinaloa cartel co-founder, in Brooklyn, New York, U.S., July 20, 2026. REUTERS/Brendan McDermid
Anggota Agensi Penguatkuasaan Dadah Amerika Syarikat (DEA) tiba untuk menghadiri prosiding hukuman terhadap pengasas bersama Kartel Sinaloa, Ismael “El Mayo” Zambada, di Brooklyn, New York. - Foto REUTERS
Advertisement

NEW YORK: Ismael “El Mayo” Zambada, antara tokoh paling terkenal dalam dunia kartel dadah Mexico, dijatuhi hukuman penjara seumur hidup oleh mahkamah Amerika Syarikat (AS), hampir dua tahun selepas ditangkap menerusi satu operasi perangkap yang membawa beliau ke negara itu.

Zambada, 76, yang merupakan pengasas bersama Kartel Sinaloa bersama Joaquin “El Chapo” Guzmán, turut diperintahkan membayar AS$15 bilion (kira-kira RM61 bilion) sebagai sebahagian daripada hukumannya.

Hakim Daerah AS, Brian Cogan, menjatuhkan hukuman itu pada Isnin dalam satu prosiding di Mahkamah Persekutuan Brooklyn selepas Zambada mengaku bersalah atas tuduhan penyeludupan dadah dan konspirasi.

Tahun lalu, beliau mencapai perjanjian pengakuan bersalah dengan pihak pendakwaan yang membolehkannya mengelak hukuman mati.

Menurut pihak berkuasa, Zambada ditahan pada 2024 selepas diperdaya untuk menaiki pesawat yang kononnya menuju ke utara Mexico bagi memeriksa landasan udara rahsia. Namun pesawat itu sebenarnya mendarat di Texas, tempat beliau ditahan oleh pihak berkuasa AS.

Semasa perbicaraan, Zambada yang memberi keterangan menerusi jurubahasa bahasa Sepanyol memohon maaf atas perbuatannya.

“Saya memohon maaf atas kemudaratan yang saya telah sebabkan dan contoh buruk yang saya tunjukkan,” katanya.

Beliau turut menyeru generasi muda supaya tidak mengikut jejak langkahnya.

“Jika ada satu perkara yang bernilai untuk saya katakan hari ini, ia adalah keganasan mesti dihentikan.

“Di Mexico dan di tempat lain yang terjejas oleh jenayah seperti ini, terlalu banyak nyawa terkorban, terlalu banyak keluarga musnah dan terlalu ramai anak muda terperangkap dalam kitaran yang hanya berakhir dengan penjara atau kematian,” katanya.

Jabatan Kehakiman AS berkata jumlah AS$15 bilion yang diperintahkan mahkamah itu mewakili keuntungan hasil aktiviti pengedaran dadah sepanjang peranan Zambada sebagai pemimpin utama organisasi jenayah berkenaan.

Kartel Sinaloa yang diasaskan Zambada pada akhir 1980-an dianggap antara rangkaian pengedaran dadah terbesar di dunia dan bertanggungjawab menghantar sejumlah besar kokain serta dadah lain ke AS selama beberapa dekad.

Peguam Negara AS bagi Daerah Timur New York, Joseph Nocella Jr., berkata Zambada menghabiskan hampir 40 tahun membina empayar jenayah yang menjana keuntungan berbilion dolar.

“Ismael Zambada Garcia menghabiskan hampir empat dekad meracuni komuniti di Amerika demi meraih keuntungan berbilion dolar dan mengarahkan pembunuhan sesiapa sahaja yang menghalang laluannya.

“Hari ini, bab itu berakhir buat selama-lamanya,” katanya.

Pendakwa raya turut menyifatkan Zambada sebagai antara, jika bukan yang paling berpengaruh dan prolifik dalam kalangan pengedar dadah dunia.

Penahanan beliau telah mencetuskan konflik dalaman dalam Kartel Sinaloa, dengan dua puak utama kumpulan itu dilaporkan saling bertempur untuk merebut kuasa.

Keganasan yang berlarutan di negeri Sinaloa sejak penahanannya menyebabkan ratusan individu dilaporkan hilang dan banyak kawasan terjejas akibat pertempuran antara kumpulan bersenjata.

Anak kepada El Chapo, Joaquin Guzmán Lopez, yang turut ditahan pada Julai 2024, sebelum ini mengaku bersalah atas tuduhan berkaitan dadah tetapi masih menunggu hukuman.

Salah satu isu yang masih belum diputuskan ialah lokasi pemenjaraan Zambada.

Beliau dilaporkan memohon untuk ditempatkan di hospital penjara atas faktor usia dan masalah kesihatan yang dihadapinya sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Bagaimanapun, pendakwa raya persekutuan mahu beliau ditempatkan di kemudahan keselamatan tinggi kerana percaya beliau masih berupaya mengarahkan operasi pengedaran dadah walaupun dari dalam penjara.

Keputusan akhir mengenai lokasi tahanannya akan ditentukan oleh Biro Penjara Persekutuan AS.

Pemerhati bagaimanapun berpendapat hukuman terhadap Zambada tidak semestinya akan mengubah landskap perdagangan dadah di Mexico secara drastik.

Mereka berpendapat organisasi jenayah di negara itu sering menyesuaikan diri dengan cepat selepas kehilangan pemimpin utama, manakala aliran penyeludupan kokain dan fentanyl ke AS dijangka terus berlanjutan.

 

Must Watch Video

Advertisement