PHUKET: Malaysia telah melaksanakan peranan sebagai fasilitator dengan baik dalam rundingan damai bagi menamatkan konflik bersenjata di selatan Thailand, kata ketua perunding bagi rundingan damai selatan Thailand Jeneral Wanlop Rugsanaoh.

"Sejak dua tahun lalu, saya berperanan sebagai ketua Panel Dialog Keamanan, saya lihat Malaysia telah melaksanakan tugas sebagai fasilitator dengan sangat baik... tanpa berpihak kepada sesiapa," kata beliau dalam satu sesi temubual eksklusif dengan Bernama pada Sabtu.

Ketika ditanya mengenai cadangan kumpulan dari selatan Thailand, Pertubuhan Pembebasan Bersatu Pattani (PULO) supaya Panel Dialog Keamanan menaik taraf peranan Malaysia daripada fasilitator kepada pengantara, Wanlop berkata ia terpulang kepada anggota panel dan Barisan Revolusi Nasional (BRN) untuk membuat keputusan.

Sesi temubual dengan Bernama diadakan selepas Wanlop mengadakan sidang media sempena rundingan damai secara bersemuka yang berlangsung selama dua hari bermula 11 Jan di Kuala Lumpur, Malaysia selepas ditangguhkan selama hampir dua tahun akibat pandemik COVID-19.

BACA: BRN, kerajaan Thai setuju empat perkara dalam usaha selesaikan isu Patani

Pertemuan itu memberi sinar harapan bagi menamatkan pertumpahan darah di Pattani, Yala, Narathiwat dan Songkhla, di mana majoriti penduduknya beragama Islam. Lebih 7,000 orang terbunuh dalam konflik bersenjata di selatan Thailand sejak 2004.

Sementara itu, Wanlop turut melahirkan harapan agar bekas ketua polis negara Tan Sri Abdul Rahim Mohd Noor yang mewakili kerajaan Malaysia terus berperanan sebagai fasilitator.

Beliau berkata Abdul Rahim mempunyai pengetahuan yang baik mengenai kerumitan isu di wilayah berkenaan dan berazam untuk melihat konflik di selatan Thailand selesai dalam masa terdekat.

"Saya berpendapat jika beliau terus bertindak sebagai fasilitator, kita akan menyaksikan lebih banyak kemajuan," katanya kepada Bernama.

Wanlop menambah bahawa Mohd Rahim telah cuba sedaya upaya dalam meneruskan rundingan damai dengan memudahcara perjumpaan dalam talian serta pelbagai saluran lain termasuk pertemuan secara bersemuka baru-baru ini di Kuala Lumpur.

"Beliau berperanan penting dalam memastikan pertemuan kedua-dua pihak berlaku," katanya.

Wanlop menegaskan Thailand komited mencari resolusi damai melalui perbincangan dan mesyuarat bagi menamatkan konflik bersenjata dengan cara yang mampan.

Beliau menambah sesi panel itu diharap dapat mengurangkan keganasan serta mengadakan lebih banyak perbincangan dan rundingan dengan penduduk tempatan demi mencapai keputusan positif.

-- BERNAMA