TEHRAN: Iran menyatakan kesediaan untuk meneruskan rundingan damai dengan Amerika Syarikat (AS), namun menegaskan sebarang perjanjian hanya akan tercapai sekiranya Washington mengubah pendekatannya.
Pegawai kanan Iran, Ebrahim Azizi berkata, Tehran pada dasarnya tidak mempunyai masalah untuk berunding dengan AS, asalkan pihak itu menunjukkan kejujuran dan komitmen terhadap proses rundingan.
Menurutnya, Iran bersedia meneruskan dialog sekiranya mempunyai keyakinan bahawa AS benar-benar mematuhi prinsip serta peraturan rundingan.
Dalam masa sama, Azizi mengakui tahap kepercayaan terhadap Washington masih rendah, malah Tehran meragui keikhlasan Presiden AS, Donald Trump dalam rundingan yang sedang berlangsung.
Beliau yang mengetuai Jawatankuasa Keselamatan Negara dan Dasar Luar Parlimen Iran berkata, rundingan dianggap sebagai sebahagian daripada strategi negara, bukan sekadar usaha diplomatik.
“Kami melihat rundingan sebagai kesinambungan medan pertempuran. Ia adalah sebahagian daripada perjuangan,” katanya dalam satu wawancara dengan CNN.
Mengulas halangan utama dalam rundingan, Azizi berkata, Iran tidak melihat kesungguhan serius daripada AS untuk mencapai rangka kerja yang boleh dilaksanakan secara berkesan.
Beliau turut mendakwa, Washington sebelum ini bersetuju untuk melepaskan aset Iran yang dibekukan di luar negara, namun setakat ini tiada tindakan konkrit diambil.
Azizi menambah, rundingan semasa juga tidak melibatkan isu program nuklear Iran, yang menurut Tehran kekal untuk tujuan aman.
Ditanya mengenai kemungkinan perjanjian damai antara kedua-dua negara, beliau menegaskan ia bergantung sepenuhnya kepada perubahan sikap pihak AS.
“Jika pendekatan yang sama berterusan, maka jawapannya tidak. Kami langsung tidak mempunyai kepercayaan,” katanya. - Agensi