TEHRAN: Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, menzahirkan penghargaan kepada Pakistan atas peranan berkesan negara itu sebagai orang tengah dalam usaha menjamin gencatan senjata di rantau Asia Barat.
Dalam pertemuan dengan Ketua Turus Angkatan Tentera Pakistan, Jeneral Asim Munir, di sini, Khamis, Pezeshkian memuji komitmen Munir serta Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif, dalam memudah cara proses diplomatik antara pihak yang bertikai.
Advertisement
Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Islamabad kerana sudi menjadi tuan rumah kepada delegasi Iran semasa rundingan pusingan awal dengan Amerika Syarikat (AS), baru-baru ini.
“Iran tidak mahukan ketidakstabilan di rantau ini, sebaliknya kami mahu memperluas hubungan persahabatan dengan negara-negara jiran,” kata Pezeshkian dalam satu kenyataan yang dilaporkan oleh agensi berita rasmi IRNA.
Beliau menegaskan bahawa meskipun Iran mengutamakan keamanan dan kestabilan serantau, negara itu akan tetap mempertahankan hak kedaulatannya dalam kerangka undang-undang antarabangsa.
Dalam pada itu, Asim Munir menyifatkan krisis yang berlaku hanya membawa kemusnahan dan menyatakan keyakinan bahawa satu perjanjian kekal dapat dicapai dengan sokongan rakan serantau lain seperti China, Arab Saudi, Mesir dan Turkiye.
Lawatan delegasi tertinggi Pakistan itu berlangsung ketika gencatan senjata selama dua minggu yang diusahakan Islamabad kini dilaporkan memasuki fasa kritikal, menjelang tarikh tamatnya pada 22 April ini.